KPM cadang wang Bantuan Awal Persekolahan dikredit terus ke akaun murid

Iklan
Kredit foto: Facebook Lim Hui Ying

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti cadangan pengagihan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) secara kredit terus ke akaun murid sepenuhnya.

Cadangan tersebut bagi memastikan insiden seperti kecuaian dan kecurian yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang lagi.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, cadangan itu perlu mengambil kira kesediaan pihak bank dan kesukaran murid di pedalaman yang memerlukan kos yang tinggi bagi membuat urusan di bank.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu sebagai menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Tampin) yang mahu KPM senaraikan mekanisme terbaik yang perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah pengurusan wang BAP agar isu kecuaian atau kecurian wang tersebut tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Iklan

Sementara itu, Hui Ying berkata, prosedur pengeluaran wang tunai telah dinyatakan dengan jelas dalam Surat Pekeliling Kewangan (SPK) Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan dan Arahan Perbendaharaan (AP 137) mengenai Tanggungjawab Bagi Wang Tunai Dalam Perjalanan.

Berdasarkan surat pekeliling itu menerusi Perkara Enam menjelaskan, sekolah hendaklah mematuhi tatacara pengeluaran wang tunai daripada bank yang selamat dan mengikut peraturan semasa seperti

Iklan

1) Pengeluaran wang tunai hingga RM10,000 oleh Pengetua dan Guru Besar hendaklah diiringi oleh dua orang guru.

2) Bagi pengeluaran wang tunai melebihi RM10,000, Pengetua dan Guru Besar perlu mengambil langkah keselamatan tambahan seperti mendapatkan perkhidmatan polis pengiring berdasarkan AP 137 mengenai Tanggungjawab Bagi Wang Tunai Dalam Perjalanan.

Tambah Hui Ying lagi, penjelasan dan maklumat berkaitan pengurusan wang BAP Tahun 2023 kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diberi secara bertulis melalui surat bertarikh 29 Disember 2022 yang dilampirkan bersama Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan.

"Susulan daripada surat yang dikemukakan ini, satu sesi Taklimat Pelaksanaan BAP Tahun 2023 telah dilaksanakan pada 11 Januari lalu.

"KPM sentiasa memberi taklimat secara berterusan bagi memastikan Pengetua dan Guru Besar mematuhi tatacara kelola pengurusan wang di sekolah," ujar Hui Ying lebih lanjut.