Harga makanan kantin sekolah kekal

Iklan
Fadhlina ketika merasmikan Seminar Kejurulatihan Sukan dan Pelancaran Takwim Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2023 di Putrajaya, hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan tidak akan timbul isu kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

Tegas beliau, harga makanan di kantin sekolah termaktub dalam garis panduan dan perjanjian antara pengusaha, pihak sekolah dan kementerian.

Iklan
Iklan

"Kementerian ambil perhatian mengenai isu kos yang dibangkitkan tetapi perlu melihat kepada garis panduan itu serta perbincangan dengan sekolah,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kejurulatihan Sukan dan Pelancaran Takwim Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2023 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kebimbangan ibu bapa kemungkinan harga makanan di kantin akan meningkat menjelang sesi persekolah yang akan bermula minggu hadapan.

Iklan

Ditanya mengenai cadangan penyeragaman harga makanan dan minuman di kantin sekolah mengikut lokaliti, Fadhlina memberitahu, perkara itu akan diberi perhatian.

"Sekiranya ada keperluan untuk seragam, kita akan lihat dari semasa ke semasa,” tambah beliau.

Iklan

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memeterai Kod Sukan Selamat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) minggu depan.

Fadhlina berkata, pihaknya akan memberi komitmen penuh terhadap kod tersebut dalam usaha memastikan ekosistem sukan yang selamat untuk pelajar.

"Kita mahu pastikan anak-anak dilindungi daripada sebarang bahaya seperti gangguan seksual, buli dan penggantungan,” kata beliau.

Menurutnya, intipati kod tersebut yang dibangunkan KBS berdasarkan Kod Olimpik merangkumi banyak aspek khususnya etika, hubungan, peranan ibu bapa dan komuniti sukan secara keseluruhan.

"Ia berkait rapat dengan akses untuk membuat aduan sekiranya ada kes-kes gangguan seksual, buli dan sebagainya,” tuturnya lanjut.

Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah melancarkan Kos Sukan Selamat bagi menjamin hak serta kebajikan atlet dan komuniti sukan dalam negara untuk menikmati persekitaran sukan yang selamat.