Dimulai robot berteknologi, permainan interaktif hinggalah pengalaman mengurut, pelbagai reruai menarik mencuri perhatian murid sepanjang Fiesta STEM TVET di SMK Bukit Tinggi, Klang, Selangor.
Bukan sekadar menyeronokkan, setiap reruai membuka peluang kepada murid meneroka ilmu, mencuba kemahiran baharu dan menimba pengalaman di luar bilik darjah.
Lebih menarik, Sinar Bestari turut menyediakan reruai khas untuk murid merasai sendiri pengalaman menjadi pembaca berita di hadapan kamera, bak penyampai profesional.
Jom intai gelagat, keterujaan dan aksi spontan murid ketika meneroka pelbagai aktiviti, termasuk merasai pengalaman di sebalik tabir dunia kewartawanan!
REAKSI
1)"Banyak pengalaman dan pengetahuan baharu yang saya dapat sepanjang menyertai program ini. Pelbagai reruai disediakan, antaranya daripada Sinar Bestari, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ada juga reruai berkaitan pertanian, jualan sayur-sayuran dan pameran tentang sarang burung. Saya tertarik apabila mendapat pengetahuan tentang spesies burung terancam yang membina sarang tersebut.
Jadi, program ini bukan sekadar membantu kami mengenali pilihan pendidikan dan kerjaya, malah memberikan pelbagai ilmu baharu yang mungkin tidak kami ketahui sebelum ini.
Program seperti ini sangat bagus untuk murid kerana kami dapat belajar perkara baharu, meneroka peluang dan mendapatkan gambaran lebih jelas tentang masa hadapan." - Murid, Daiyyan Naufal Hidayat Rahmat Hidayat, 14.
2)"Program Fiesta STEM TVET 2026 ini banyak aktiviti menarik yang dijalankan, termasuk aktiviti berkaitan TV PSS. Saya sendiri merupakan wartawan TV PSS, jadi adalah pengalaman untuk membaca berita dengan kelengkapan yang disediakan.
Saya juga berpeluang meneroka pelbagai reruai yang sangat menarik. Memang seronok sebab ini kali pertama saya merasai pengalaman seperti ini.
Saya bukan sahaja dapat menjalankan tugas, malah berpeluang melihat dan mencuba perkara baharu. Harapan saya, program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada tahun hadapan dengan suasana yang lebih meriah serta lebih banyak aktiviti menarik untuk diterokai oleh murid." - Murid, Noor Ramadhani Ahmad Basri, 14.
3)"Fiesta STEM TVET 2026 merupakan program julung kali dianjurkan oleh SMK Bukit Tinggi peringkat Negeri Selangor dengan penglibatan pelbagai syarikat dan agensi yang mengetengahkan bidang robotik, sains, teknologi, masakan serta kemahiran berkaitan.
Sekolah ini mempunyai kira-kira 1,600 murid dan bagi memastikan mereka berpeluang menyertai program berkenaan, penyertaan diadakan secara dua sesi iaitu pagi dan petang.
Penganjuran program ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada murid tentang bidang STEM dan TVET, malah membuka ruang untuk mereka meneroka minat, mengasah bakat serta mengenali perkembangan teknologi semasa, khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI).
Dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, kami mahu murid bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi turut berani meneroka potensi diri, mengetengahkan bakat dan membina kemahiran yang relevan dengan keperluan masa hadapan." - Guru Pembimbing dan TV PSS, Ahmad Syahrul Haniff Mohd Rawi, 40.