Pensyarah dan penyelidik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts Dr Nor Azizi Yusoff mengakui bencana banjir di Johor baru-baru ini meninggalkan kesan sangat mendalam kepada beliau sekeluarga.
Ini kerana rumahnya turut dimasuki air akibat banjir sehingga merosakkan harta benda yang ada.
Bagaimanapun Nor Azizi reda dengan ujian daripada ALLAH SWT kerana segala yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Ini terbukti apabila Nor Azizi mendapat idea untuk menghasilkan Water Dam iaitu inovasi yang mampu menyelamatkan kediaman daripada dimasuki air sekali gus memendekkan jangka masa kejadian banjir termenung.
"Water Dam merupakan satu empangan bersama sistem pam yang dapat menyedut keluar air yang bertakung di dalam rumah.
"Ia boleh dihasilkan sendiri dengan menggunakan barang-barang seperti pam akuarium, plastik sampah, hos serta tikar getah, air, kertas terpakai, penapis plastik dan pemberat.
"Kebiasaanya barang-barang ini mudah didapati di rumah dan jika mahu membelinya, kos diperlukan kurang daripada RM200 sahaja,” ujarnya yang berharap inovasi tersebut dapat digunakan mangsa banjir sebagai usaha memendekkan jangka masa banjir termenung seterusnya meminimakan kerosakan barangan milik mereka.
Menurut Nor Azizi, menghasilkan inovasi Water Dam secara DIY (do it yourself) tidaklah sukar.
Ia mempunyai lima langkah sahaja dan boleh disiapkan dalam waktu yang singkat.
Jom ikuti langkah mudah Water Dam seperti di bawah!
Langkah 1: Tikar getah yang ada di rumah dipotong mengikut kesesuaian ruang terbuka terutamanya pintu. Tikar ini dilapik dalam bentuk L bagi memberi lekapan yang baik antara permukaan dinding, lantai dan tikar getah.
Langkah 2: Ambil plastik sampah dan letakkan pemberat di dalamnya serta himpitkan di atas permukaan tikar getah bagi menghalang resapan air antara permukaan tikar getah dan lantai. Kemudian, masukkan air ke dalam beg plastik. Perkara ini diulangi sehingga empangan siap.
Langkah 3: Kertas terpakai diletakkan di antara tikar getah dan empangan air. Ini bagi membentuk teras empangan yang kebiasaanya menggunakan bahan tanah liat untuk menyekat pergerakan air bawah tanah.
Langkah 4: Bagi penyediaan pam, pam yang digunakan perlu dialas dengan penapis plastik bagi mengelak tersumbat dengan bendasing.
Langkah 5: Tutup bukaan lain seperti lubang tandas dan lubang sinki dapur dengan gulungan kertas bersalut plastik bagi menyekat pergerakan air dari lokasi-lokasi ini. Setelah empangan siap terbentuk, bekalan elektrik ke pam boleh diaktifkan.