Penubuhan MRSM berbayar tidak akan menggunakan peruntukan kerajaan

Iklan
Timbalan Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen.

Kerajaan tidak akan menggunakan peruntukan serta tanah kerajaan bagi tujuan pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar yang dikhaskan untuk golongan berkemampuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang peruntukan kerajaan khususnya di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang telah disediakan bagi tujuan pendidikan golongan kurang berkemampuan (B40) tidak akan disentuh dan diusik bagi tujuan pembinaan tersebut.

Iklan
Iklan

Jelas beliau yang juga memegang jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, pembangunan MRSM berbayar tersebut sebaliknya akan melibatkan beberapa kerjasama daripada pihak swasta.

Tambahnya lagi, perancangan pembinaan tersebut sedang disediakan dan disusun atur oleh MARA kerana permintaan bagi memasuki MRSM kini berada di tahap lebih daripada 300 peratus kemampuan asal.

Iklan

"Untuk makluman semua pembinaan tersebut memang berada dalam perancangan dan kami juga tidak akan menggunakan peruntukan serta tidak melibatkan sebarang dana daripada kerajaan.

"Sebaliknya kami akan menggunakan pendekatan kewangan swasta dan akan menjalinkan kerjasama dengan institusi kewangan untuk tujuan pembiayaan.

Iklan

"Ini sedang disusun atur MARA kerana permintaan memasuki MRSM ketika ini berada pada tahap yang melebihi 300 peratus daripada kemampuan sepatutnya,” jelasnya pada sesi soal jawab Menteri di Parlimen, pada Khamis.

Beliau menjawab soalan yang dilontarkan oleh Syed Saddiq Abdul Rahman (PH-MUAR) yang mahu mengetahui tentang proses, sumber kewangan serta juga lokasi milik tanah yang akan digunakan bagi tujuan pembinaan MRSM berbayar itu.

Dalam pada itu tambah Ahmad Zahid, menerusi beberapa kajian yang dilakukan pihaknya mendapati ramai pelajar yang memenuhi syarat akedemik untuk memasuki MRSM tetapi tidak layak daripada status pendapatan ibu bapa terutamanya golongan berpendapatan tinggi T20 dan pertengahan M40.

Tuturnya lagi, pembinaan tersebut juga didorong oleh permintaan tinggi ibu bapa yang terdiri daripada alumni MRSM dan mahukan anak-anak mereka mendapat pendidikan di institusi tersebut.

"Saya juga ingin menyebutkan terlalu banyak permintaan daripada alumni MRSM yang telah bergelar ibu bapa dan mahukan anak-anak mereka masuk ke MRSM tetapi terhalang kerana pendapatan mereka yang melebihi syarat.

"Atas sebab tersebut tanpa berkompromi daripada segi kualiti dan kelulusan minimum akademik, kita akan membuka ruang yang seluasnya untuk anak-anak alumni MRSM ini masuk ke MRSM yang sedia ada dan apatah lagi yang berkemampuan boleh mendaftarkan anak-anak mereka di MRSM yang akan diwujudkan secara berbayar nanti.

"Dalam hal ini kita harus keluar daripada kepompong untuk melaksanakannya nanti dan saya juga yakin ini adalah pendekatan baharu daripada MARA dalam usaha menyantuni permasalahan yang sedang dihadapi oleh pelajar yang berminat untuk memasuki MRSM biasa namun tidak berpeluang kerana faktor-faktor yang telah disebut,” kata Ahmad Zahid.