UTHM edar juadah berbuka puasa secara pandu lalu

Iklan
Penyediaan bubur lambuk secara bergotong royong oleh sukarelawan UTHM.

Ramadan merupakan sebaik-baik bulan untuk merebut dan meraih ‘bonus khas’ yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain.

Oleh itu, umat Islam menghampiri akhir bulan Ramadan tahun ini digalakkan untuk memperbanyakkan amalan-amalan yang mulia.

Iklan
Iklan

Amalan tersebut termasuklah bersedekah dan memberi sumbangan makanan kepada orang yang berpuasa.

Perkara ini turut diajar Rasulullah SAW sebagaimana sabda Baginda,"Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi).

Iklan

Melihat kepada kebaikan amalan bersedekah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil insiatif menyedia dan mengedar juadah berbuka puasa secara percuma kepada mahasiswa dan warga kampus sepanjang bulan mulia ini.

Pengedaran bubur lambuk dan nasi bungkus secara pandu lalu.

Makanan yang diedarkan adalah bubur lambuk dan nasi bungkus itu diberi secara pandu lalu pada setiap hari Isnin hingga Khamis di perkarangan Masjid Sultan Ibrahin, kampus induk UTHM.

Iklan

Naib Canselornya, Profesor Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim berkata, UTHM melalui Pusat Islam telah memperuntukkan kira-kira RM50,000 bagi menjayakan projek berkenaan sebagai tanda prihatin kepada warga kampus sepanjang Ramadan.

Beliau memberitahu, inisiatif berkenaan juga dibiayai oleh tabung Masjid Sultan Ibrahim yang merupakan hasil sumbangan kakitangan universiti dan masyarakat setempat.

"Pengurusan masjid telah mengedarkan kira-kira 250 hingga 300 pek nasi bungkus sehari bergantung kepada jumlah purata pengunjung yang hadir.

"Selain bubur lambuk, nasi beriani atau nasi berlauk menjadi menu istimewa yang dibungkus segar dari dapur masjid,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ruzairi memaklumkan, aktiviti memasak dan membungkus makanan dilakukan secara gotong-royong oleh sukarelawan UTHM secara bergilir-gilir.

Tambahnya lagi, bekalan juadah berbuka puasa itu juga disediakan mengikut jumlah mahasiswa di dalam kampus memandangkan UTHM melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hybrid.

Mengulas lanjut tentang inisiatif pemberian juadah berbuka puasa berkenaan, Ruzairi menjelaskan, program itu bukan sahaja membantu meringankan beban mahasiswa tetapi ia juga untuk mengeratkan ukhwah dan memupuk semangat kemuafakatan dalam kalangan warga kerja selain menyokong usaha progresif ke arah masyarakat Madani.

"Pelaksanaannya juga memberi manfaat kepada warga universiti terutamanya kepada mahasiswa yang kurang berkemampuan menikmati juadah berbuka.

"Program ini sebagai usaha membudayakan amalan bersedekah dan beramal jariah sekali gus melahirkan masyarakat yang penyayang serta prihatin antara satu sama lain,” tuturnya.