Pada era globalisasi ini, apabila istilah 'halal' disebut, minda majoriti masyarakat secara automatik akan membayangkan visual sebuah pinggan yang dipenuhi makanan yang bersih, penyembelihan yang patuh syariah, atau logo yang berbentuk segiempat melingkari tulisan Arab.
Perspektif tradisi ini tidak salah, namun pemikiran sedemikian rupa adalah satu kerugian yang besar.
Halal hari ini bukan lagi sekadar lambang keagamaan di dapur, mahupun label kosmetik semata-mata untuk melariskan jualan. Ia telah menjadi sebuah kuasa ekonomi global yang agresif, merentas sempadan industri seperti teknologi kewangan (fintech), farmaseutikal berteknologi tinggi dan pengurusan rantaian bekalan dunia.
Mengikut unjuran laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) terbaharu, pasaran ekonomi pengguna Islam global dijangka mencecah nilai perbelanjaan yang tinggi menjelang tahuntahun mendatang.
Lonjakan ini bukan sekadar didorong oleh faktor demografi iaitu populasi umat Islam yang dijangka merangkumi 30 peratus daripada penduduk dunia menjelang 2030 tetapi atas faktor kesedaran terutamanya pasca-pandemik.
Pengguna global, termasuk komuniti bukan muslim, kini melihat ekosistem halal sebagai penanda aras mutlak bagi aspek kebersihan, keselamatan kualiti, etika perdagangan, dan kelestarian alam sekitar.
Dalam kerangka ekonomi Islam, konsep halal tidak boleh berdiri sendiri tanpa elemen thoyyiban (baik,suci, dan berkualiti). Falsafah inimenekankan aspek keadilan, ketelusan, dan penolakan sebarang bentuk kemudaratan (darar) di sepanjang rantaian nilai.
Sebuah produk kosmetik tidak hanya dengan menggunakan bahan mentah yang bebas gelatin haiwan haram, tetapi proses pengilangan, layanan terhadap pekerja,serta impak sisa toksik industri terhadap alam sekitar turut diambil kira.
Inilah bezanya ekonomi Islam dengan sistem kapitalisme konvensional. Konvensional meletakkan keuntungan maksimum sebagai paksi utama, manakala ekonomi Islam mengikat keuntungan dengan tanggungjawab sosial dan keberkatan (barakah).
Kesedaran etika inilah yang memikat jutaan pengguna bukan Islam di Eropah dan Asia Timur. Bagi mereka, produk halal adalah sinonim kepada perniagaan yang bertanggungjawab (ethical business) dan adil. Selain itu, salah satu kelemahan utama dalam model ekonomi dunia hari ini ialah jurang yang besar antara sektor kewangan (spekulatif) dan sektor nyata (pengeluaran fizikal).
Ekonomi Islam datang menyelesaikan penyelewengan dengan memastikan sektor kewangan wajib menyokong sektor nyata secara langsung. Di sinilah berlakunya simbiotik antara perbankan Islam, pasaran modal sukuk dan industri halal fizikal.
Institusi kewangan Islam tidak lagi sekadar menawarkan akaun simpanan tanpa riba, tetapi bertindak sebagai rakan strategik melalui kontrak perkongsian risiko seperti Mudharabah dan Musyarakah.
Sebagai contoh, pembiayaan yang diberikan kepada usahawan kilang farmaseutikal halal bukan berasaskan kadar faedah yang menindas, sebaliknya ia adalah pertumbuhan produktiviti jangka panjang.
Begitu juga dengan instrumen Sukuk Halal (bon Islam) yang digunakan untuk membina infrastruktur pelabuhan khusus halal. Ini memastikan modal yang berputar dalam sistem kewangan tidak menjadi buih spekulasi, sebaliknya menjelma sebagai aset fizikal yang menghasilkan peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Apabila membicarakan tentang kepimpinan ekosistem halal, Malaysia berada di kelas yang tersendiri. Standard Halal Malaysia (MS 1500) yang dipayungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diiktiraf di peringkat global sebagai piawaian emas (gold standard).
Integriti dan ketegasan JAKIM dalam menilai rantaian audit halal telah memberikan Malaysia kelebihan geopolitik yang sangat bernilai melaluI mekanisme"Diplomasi Halal". Kelebihan institusi ini membuka pintu gerbang pelaburan langsung asing (FDI).
Syarikat-syarikat gergasi multinasional dari negara bukan Islam seperti Jepun, Korea Selatan, dan China sanggup melabur bilion ringgit di Malaysia semata-mata untuk mendapatkan cop pengesahan halal JAKIM sebelum produk mereka dieksport ke pasaran Asia Barat dan Afrika Utara.
Ekonomi Islam negara tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada barang tradisional seperti minyak kelapa sawit atau gas asli, sebaliknya mengeksport kepakaran teknologi pengurusan dan pematuhan syariah Evolusi halal juga masuk dalam sektor perkhidmatan menerusi Pelancongan Mesra Muslim (Muslim-Friendly Tourism - MFT).
Sektor ini bukan bermaksud mewujudkan pengasingan kaum atau agama, tetapi menyediakan kemudahan asas yang fleksibel seperti akses makanan halal, ruang ibadah, dan privasi rekreasi yang menghormati nilai ketimuran serta keagamaan.
Pelancong Muslim merupakan antara golongan yang mempunyai kuasa beli dan tempoh bermalam tertinggi di dunia. Negara sekular seperti Thailand, Taiwan, dan Jepun kini bersaing hebat dengan Malaysia untuk menyediakan prasarana mesra muslim demi merebut pasaran yang bernilai tinggi.
Bukan itu sahaja, aspek logistik turut mengalami peningkatan paradigma. Ini melahirkan industri logistik halal yang melibatkan pengangkutan, penyimpanan, dan pengendalian kontena khusus bagi mengelakkan percampuran antara produk halal dan tidak halal.
Sektor logistik ini secara tidak langsung menyokong agenda kelestarian global menerusi penerapan elemen logistik hijau yang mengurangkan jejak karbon, sekali gus membuktikan bahawa prinsip ekonomi Islam berjalan seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Di sebalik angka-angka yang memukau, laluan industri halal global tidak selamanya meningkat.
Cabaran terbesar yang meruntuhkan ekosistem ini dalam sekelip mata ialah isu integriti. Kes-kes pemalsuan logo halal dan ketirisan maklumat rantaian bekalan sering kali menjadi tajuk utama berita.
Apabila keyakinan pengguna terjejas, impak ekonominya bukan sahaja dirasai oleh pengeluar, malah turut menjejaskan imej ekonomi Islam secara keseluruhan.
Bagi mengatasi kemelut ini, pendekatan konvensional sudah tidak lagi memadai. Penggunaan teknologi automasi dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) wajib diarusperdanakan. Malaysia perlu memimpin usaha integrasi teknologi Rantaian Blok (Blockchain) dan Internet Kebendaan (IoT) dalam penjejakan produk halal.
Melalui sistem lejar teragih (distributed ledger) rantaian blok, pengguna di mana-mana pelosok dunia boleh mengimbas kod QR pada produk untuk menyemak asal-usul bahan mentah, tarikh, sehingga logistik kapal yang membawanya ke masa nyata (real-time).
Langkah digital ini bukan sahaja membunuh rantaian sindiket sijil palsu, malah meningkatkan kecekapan operasi industri. Di samping itu, negara sekular yang mempunyai kapasiti teknologi tinggi dan sektor pertanian berskala besar seperti China, Brazil, dan Australia kini mula mendominasi eksport daging dan produk asas tani halal dunia.
Brazil, sebagai contoh, merupakan pengeksport daging ayam halal terbesar ke negara-negara Teluk, manakala Australia mendominasi pasaran daging lembu.
Jika usahawan tempatan masih rasa selesa dan gagal meningkatkan kapasiti pengeluaran secara komersial, Malaysia berisiko mengalami pertukaran peranan daripada sebuah negara pelopor kepada sekadar pengguna pasif dalam pasaran yang dibina.
Sebagai rumusan, transformasi konsep halal daripada sekadar hukum fiqh pemakanan kepada sebuah ekosistem ekonomi mega adalah bukti dinamisme ajaran Islam yang merentasi zaman.
Halal adalah manifesto ekonomi yang menawarkan keadilan sistemik, keselamatan mutlak, dan kesejahteraan kolektif kepada seluruh umat manusia tanpa mengira latar belakang ideologi mahupun agama.
Bagi Malaysia, memperkasakan industri halal bukan lagi sekadar pilihan dasar ekonomi, tetapi merupakan satu tanggungjawab strategik demi masa depan negara.
Cabaran sengit daripada pesaing luar dan ancaman ketirisan integriti domestik menuntut komitmen radikal daripada semua pihak seperti pihak berkuasa dalam agama, penggubal dasar, pemain industri kewangan, institusi penyelidikan, hinggalah kepada pengguna terkecil di kedai runcit.
Melalui pengukuhan integriti pensijilan, pemerkasaan inovasi digital IR 4.0, dan integrasi kewangan Islam, kita mampu memastikan Malaysia kekal teguh sebagai paksi utama ekonomi Islam global.
Matlamat akhirnya bukan semata-mata mengejar angka keuntungan trilion dolar, tetapi untuk membuktikan kepada dunia bahawa sistem ekonomi yang berteraskan syariat Islam mampu membina sebuah peradaban global yang lebih makmur, mampan, dan berkat.
Maklumat penulis
1. Mahasiswa Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nor Ain Mohd Rafi
2. Pensyarah Dr Jaharudin Padli