My Saved Food ringankan beban pelajar di bulan Ramadan

Iklan
Agihan di masjid POLISAS.

Ikat perut atau makan mi segera sebagai menu utama sudah menjadi lumrah kehidupan buat mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) sebagai langkah berjimat.

Walaupun dapat membeli sepinggan nasi namun mereka hanya memilih satu lauk tanpa sayur-sayuran atau hidangan lain bagi memastikan perbelanjaan yang mencukupi.

Iklan
Iklan

Melihat kepada senario tersebut yang sering terjadi dalam kalangan mahasiswa lebih-lebih lagi di bulan Ramadan, Yayasan Sukarelawan Politeknik (YES), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, telah melaksanakan program My Saved Food sempena Bazar Ramadan POLISAS 2023 yang beroperasi bermula 23 Mac hingga 18 April ini.

Program yang diadakan di Padang A POLISAS itu mendapat kerjasama daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) POLISAS yang bertujuan meringankan beban pelajarnya selain mengelakkan pembaziran makanan dan minuman yang tidak habis dijual atau sekiranya terdapat peniaga yang perlu pulang awal.

Iklan

Pengarah POLISAS, Norehan Silek berkata, setiap hari kumpulan pelajar seramai lima orang terdiri daripada tiga orang sukarelawan YES dan dua orang MPP POLISAS akan bertugas di bazar berkenaan untuk mengumpul makanan dan minuman yang disumbangkan oleh para peniaga.

"Kebiasaannya pukul lima petang ke atas, kumpulan pelajar ini akan bergerak dan bertugas di bazar untuk mengumpul makanan atau minuman yang disumbangkan.

Iklan

"Kemudian, makanan atau minuman ini akan diserahkan ke masjid atau asrama untuk dimanfaatkan oleh para pelajar yang memerlukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Unit Keusahawanan POLISAS, Suriati Ahmad memberitahu, Bazar Ramadan POLISAS anjuran Pusat Keusahawanan POLISAS (PUSKEP) telah memulakan operasi seawal pukul 3.30 petang hingga 8.30 malam yang menghimpunkan 23 gerai makanan dan minuman.

Tambahnya lagi, para peniaga juga terdiri daripada pelajar-pelajar POLISAS serta peniaga luar sebagai mentor kepada pelajar yang terlibat.

Antara tujuan penganjuran bazar ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melatih dan membimbing para pelajar dalam bidang keusahawanan di samping memudahkan warga POLISAS membeli juadah berbuka puasa.

"Pelbagai juadah boleh didapati antaranya ayam madu, polycoffee, chicken chop, air balang, ayam gunting, pulut mangga, pulut durian, nasi kerabu, roti tempayan, daging bakar dan bermacam-macam lagi.

"Malah orang ramai di sekitar Semambu juga dijemput hadir memeriahkan Bazar Ramadan POLISAS,” tuturnya.