Berpuasa selama 17 jam, mahasiswa teruja jalani ibadah di negara sejuk

Iklan
Kongsi pengalaman berpuasa di luar negara buat kali pertama, mahasiswa Malaysia luah perasaan bercampur baur.

Umat Islam di kebanyakan negara seluruh dunia sudah mula berpuasa sejak 23 Mac lalu yang jatuh pada hari Khamis bersamaan 1 Ramadan 1444H.

Memetik kenyataan daripada Al Arabiya News, tempoh berpuasa pada tahun ini adalah dianggarkan 10 hingga 18 jam bergantung kepada lokasi geografi sesebuah negara.

Iklan
Iklan

Ini kerana perbezaan tempoh tersebut adalah disebabkan oleh variasi dari segi tempoh siang dan malam berdasarkan kecondongan bumi serta kedudukan di antara bumi dengan matahari.

Misalnya di Malaysia, jangka masa berpuasa adalah lebih kurang selama 13 hingga 14 jam yang turut sama dengan negara-negara berdekatan seperti Singapura dan Indonesia.

Iklan

Manakala, bagi umat Islam yang berada di luar negara seperti Perancis, Kanada dan Itali perlu menjalani ibadah berpuasa hampir 14 hingga 17 jam sehari.

Sehubungan itu, Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi pengalaman mahasiswa daripada Malaysia yang kini berada di Perancis sepanjang Ramadan tahun ini dan berkemungkinan juga akan beraya jauh di samping keluarga.

Iklan

Jom kita lihat!

Perasaan menyambut Ramadan buat kali pertama berjauhan daripada keluarga sememangnya bercampur baur antara seronok, teruja dan sedih.

Namun demi mencapai cita-cita dan impian dalam jurusan Sarjana Sains Kewangan Korporat, perkara itu dianggap sebagai cabaran untuknya terus tabah walaupun terpaksa meninggalkan keluarga lebih-lebih lagi di bulan mulia ini.

Menurut Muhammad Fariz Haikal Muhammad Firdaus, mahasiswa SKEMA Business School Campus Sophia Antipolis di Perancis, pengalaman berpuasa di luar negara adalah satu perkara baru untuknya belajar dan mendalami sendiri budaya menjalani ibadah di negara itu.

Katanya, walaupun jauh berbeza suasana Ramadan di negara sendiri yang sentiasa dirindui tetapi dia menganggap persekitaran baru itu sebagai pengalaman bermakna sepanjang hidupnya.

Cabaran tempoh berpuasa

Ketika ditanya mengenai tempoh berpuasa yang agak lama jika dibandingkan dengan di Malaysia, Muhammad Fariz memberitahu, ia buka satu perkara membebankan memandangkan negara berkenaan adalah negara bersuhu sejuk.

Muhammad Fariz

"Memang kami umat Islam berpuasa di sini (Perancis) lebih 16 hingga 17 jam lebih lama berbanding di Malaysia.

"Tetapi disebabkan suhu dan persekitaran negara ini sejuk menjadikan kami tidak berasa penat untuk berpuasa dan kadang-kala tidak sedar sudah memasuki waktu berbuka.

"Malah tidak menjadi masalah juga untuk kami sekiranya perlu berjalan di luar kerana suasananya lebih selesa dan sejuk. Cuba bayangkan jika berjalan pada tengah hari di Malaysia? pasti sudah kering tekak,” katanya ketika berjenaka tentang perbezaan suasana puasa di Malaysia dan Perancis.

Tambah Muhammad Fariz lagi, masyarakat di negara berkenaan kurang berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris dan perkara itu menjadikan tempoh berkomunikasi tidak mengambil masa yang lama.

Perbezaan suasana

Bercerita lanjut tentang perbezaan suasana Ramadan, Muhammad Fariz memaklumkan, ia dapat dilihat terutamanya ketika waktu berbuka.

Ini kerana Perancis bukan sebuah negara Islam yang menjadikan waktu pembelajaran juga tidak mengikut waktu ketika bulan puasa di Malaysia.

"Ada beberapa hari di bulan Ramadan ini, kuliah diadakan sehingga 8 malam,

"Jadi kami terpaksa berbuka puasa dengan curi-curi minum air kosong semasa pembelajaran di dalam kelas sedang berlangsung,” katanya.

Bukan itu sahaja, Muhammad Fariz turut memberitahu, buat pertama kalinya dia tidak menjejakkan kaki ke bazar Ramadan.

Ujarnya, di Perancis tidak ada bazar yang menjual juadah berbuka puasa yang menjadikan suasana Ramadan di sana tidak semeriah di tanah air.

"Disebabkan tiada bazar, sama ada kami perlu masak atau beli sahaja makanan berbuka di kedai-kedai halal seperti kebab atau shawarma.

"Selain itu, perbezaan suasana ini juga boleh dilihat sewaktu tarawih. Jika di Malaysia selepas tarawih akan disediakan moreh tetapi tidak di sini.

"Selalunya selepas tarawih masjid atau surau akan terus kosong,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah dia akan pulang ke Malaysia untuk menyambut hari raya, Muhammad Fariz berkata, berkemungkinan besar dia dan rakan akan beraya di Perancis.

Ia disebabkan cuti yang singkat tetapi menurutnya, ini adalah peluang untuk dia menerokai dan mempelajari budaya masyarakat Islam di sana menyambut Aidilfitri.