Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin dirasai memandangkan ia merupakan perayaan utama masyarakat Islam di negara ini.
Sehubungan itu, mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mula meninggalkan kampus bagi tujuan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Naib Canselornya, Profesor Dr Mohd Fo’ad Sakdan memberi peringatan kepada mahasiswanya yang akan pulang supaya berhati-hati lebih-lebih lagi mereka yang menggunakan kenderaan sendiri.
"Pandulah dengan cermat dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.
"Saya juga ingin mengingatkan kepada mahasiswa yang memandu dengan kenderaan sendiri agar berhenti berehat seketika sekiranya keletihan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya di hadapan Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin UUM, Sintok, Kedah.
Sementara itu, pihak pengurusan universiti sentiasa mendoakan keselamatan semua warga kampus agar kepulangan menyambut hari raya dapat menyerikan keluarga terutama di pagi syawal nanti.
Manakala, bagi mahasiswa yang tidak dapat pulang beraya terutamanya dari Sabah, Sarawak dan luar negara, mereka boleh menyambut kemeriahan perayaan ini bersama dengan kakitangan serta warga kampus.
Dalam pada itu, baru-baru, UUM telah memberi kebenaran untuk mahasiswanya mengadakan kuliah secara dalam talian pada minggu ketiga pengajian bagi semester kedua sesi 2022/2023 selepas menerima permohonan daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Universiti juga telah meluluskan permohonan berkenaan mulai 16 hingga 20 April 2023 sama ada secara segerak (synchronous) atau tidak segerak (asynchronous) bagi memudahkan urusan mahasiswanya yang bakal pulang ke kampung halaman untuk Hari Raya Aidilfitri.