Pembayaran sumbangan khas berjumlah RM600 melalui kaedah ‘one-off’ kepada imam, bilal, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta takmir akan disalurkan kepada kerajaan negeri selewat-lewatnya Isnin ini iaitu 17 April 2023.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Naim Mokhtar, keputusan berkenaan diambil selepas mengadakan sesi perbincangan bersama Kementerian Kewangan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sangat prihatin berhubung isu pembayaran sumbangan khas berjumlah RM600 ini kepada imam, bilal, siak, guru KAFA serta guru takmir sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu.
"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga amat menghargai jasa dan bakti para murabbi ummah dalam mendidik masyarakat selain berharap agar penyaluran sumbangan khas ini dapat memberikan keceriaan membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan bersetuju untuk menaikkan elaun bagi 35,000 guru KAFA sebanyak RM100.
Selain itu, kerajaan akan memberikan sumbangan khas RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir.
Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukan berkaitan hal ehwal Islam untuk memastikan institusi Islam dalam negara Madani ini menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pentadbiran.