Tujuh mahasiswa dari Tokyo University of Foreign Studies (TUFS), Tokyo, Jepun melahirkan keterujaan apabila berpeluang mengikuti Program Sensei Kembara Alam di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kata mereka, pelbagai ilmu dan kemahiran telah diperolehi menerusi program itu terutamanya yang berkaitan adat dan budaya masyarakat Melayu.
Antaranya jenis makanan, pakaian dan permainan tradisional masyarakat Melayu serta cara berkomunikasi dalam Bahasa Melayu menggunakan bahasa isyarat.
Salah seorang penuntut TUFS, Risako Yamazaki @ Rozita berkongsi kegembiraannya kerana telah mengikuti program bermaklumat itu.
"Saya sangat teruja dengan ilmu pembelajaran adat dan budaya masyarakat Melayu di sini.
"Paling menarik adalah diberi peluang belajar Bahasa Melayu menggunakan bahasa isyarat dan ini adalah pengalaman yang sukar dilupakan,” ujarnya yang kini mengikuti jurusan Bahasa Melayu di IPGKIK hampir setahun lalu.
Sementara itu, Pengarah Program Sensei Kembara Ilmu yang juga mahasiswa IPGKIK, Athierah Mohd Azrie, 20 meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang merealisasikan program bertaraf antarabangsa tersebut.
Katanya, sebagai penuntut opsyen Bahasa Melayu, dia dan rakan-rakan berpeluang mengaplikasikan kuliah yang dipelajari dalam situasi sebenar.
"Menerusi program ini, kami perlu mendalami setiap adat dan budaya masyarakat Melayu seperti adat makan orang Melayu yang duduk bersimpuh, budaya makan menggunakan tangan, fungsi jari ketika menyuapkan makanan dan lain-lain lagi," ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah kursus Bahasa Melayu di IPGKIK, Noraini Abd Rahim berbangga dengan usaha dan ketelitian penuntut IPGKIK yang menterjemahkan budaya masyarakat Melayu kepada penuntut TUFS.
"Mereka bukan sahaja melakukan demonstrasi makanan dan memperaga pakaian tradisional, serta permainan tradisional bahkan turut menghasilkan ikon sensori yang beridentitikan negara.
"Ikon sensori iaitu Tun Fatimah dan Keluarga Limau yang dibangunkan begitu unik kerana ia khusus untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (masalah pembelajaran).
"Dalam pembelajaran, terapi boleh meningkatkan motor halus murid termasuklah kekuatan jari-jemari, koordinasi mata dan tangan serta sebagainya," ujarnya.