Mahasiswa UIAM adakan Program Futoor With Orphange, raikan anak yatim

Iklan
Program Futoor With Orphange meraikan penghuni Rumah Titian Kaseh di Kuala Lumpur baru-baru ini. 
Berbaki kurang dari seminggu bulan Ramadan akan melabuhkan tirai untuk umatnya mengejar amalan mulia bagi mendapatkan ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Usaha untuk meraih ganjaran pahala ini turut dilakukan oleh mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang telah bertungkus lumus mengadakan Program Futoor With Orphange dengan meraikan penghuni Rumah Titian Kaseh di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dianjurkan oleh mahasiswa Ijazah Perakuanan UIAM melalui Kelab Pelajar Perakaunan UIAM, program yang mendapat kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) ini bertujuan memberi pengisian kerohanian termasuk sesi tadabbur surah pilihan dan solat terawih berjemaah.

Rasha Waleed Saeed Basalamah
Iklan
Iklan


Menurut Pengurus Program, Rasha Waleed Saeed Basalamah, seramai 20 sukarelawan mahasiswa bersama wakil WUIF telah berbuka puasa bersama penghuni Rumah Titian Kaseh yang terdiri daripada 58 anak yatim , 15 ibu tunggal dan lima penjaga.

"Kami berhajat untuk mengisi masa terbaik pada bulan Ramadan dengan melakukan kerja amal secara sukarelawan.

"Aktiviti sebegini juga dilihat dapat membantu mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mahasiswa bersama masyarakat.

"Malah melalui program kebajikan ini juga, kami dapat meningkatkan nilai kemanusiaan dalam diri selain memberi pengalaman menarik kepada peserta bagi membantu masyarakat di luar sana yang memerlukan,” ujarnya.

Tambah Rasha, istimewanya program yang dianjurkan itu adalah hidangan berbuka puasa untuk 130 orang telah dimasak dan sediakan oleh para peserta yang diketuai oleh Naib Pengerusi BACC Council, Idris Fadli Ambok Dalek di dapur M Kitchen, berhampiran Kulliyah of Information & Communication Technology (KICT), UIAM.

Antara menu disediakan adalah nasi, ayam goreng kunyit, gulai Kelantan, ulam-ulaman, sambal belacan, kentang goreng, kuih seri muka, kuih lapis, cendawan inoki goreng, air bandung soda dan teh tarik.

Dalam pada itu, program yang melibatkan anak yatim piatu, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas turut mendapat perhatian WUIF untuk menyumbangkan set Wakaf al-Quran agar Quran Corner dapat dibuka di ruangan rumah berkenaan.

Sementara itu, wakil WUIF, Lutfil Hadi Rosmanirzam telah menyerahkan set Wakaf al-Quran tersebut sekali gus menjadi pentadabbur Surah Al-Insan serta berkongsi mengenai 11 ciri al-abrar kepada penghuni di situ.

wakil WUIF, Lutfil Hadi dalam sesi Tadabbur Surah Al-Insan bersama penghuni Rumah Titian Kaseh.
Iklan
Iklan


Dalam pada itu, pengurusan Rumah Titian Kaseh yang diwakili Haslinda Dol Hamid juga memberitahu, kehadiran mahasiswa UIAM amat dialu-alukan bagi menceriakan penghuni di situ.

"Saya tertarik dengan usaha mereka yang bersungguh-sungguh untuk menggembirakan anak yatim asnaf dan penghuni lain dengan berkunjung ke pusat jagaan di sini.

"Ini memberi pengalaman awal kepada mahasiswa untuk menyelami perjalanan kehidupan mereka.

"Malah sebelum berlaku pandemik Covid-19 juga ramai individu, keluarga mahupun agensi berlumba-lumba datang untuk memberi makan dan menghulurkan bantuan kepada Rumah Titian Kaseh sepanjang bulan puasa saban tahun.” tuturnya.