Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi salah satu topik paling hangat diperdebatkan di seluruh dunia.
Dari sektor perbankan hingga pendidikan, teknologi ini membawa gelombang perubahan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.
Namun, semakin luas penggunaannya, semakin jelas perdebatan mengenai impaknya terhadap kehidupan masyarakat.
Adakah AI benar-benar memudahkan kehidupan harian atau sebenarnya menjadi faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup?
AI sering digambarkan sebagai teknologi masa depan yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah manusia dengan lebih cepat, tepat dan efisien.
Contohnya, penggunaan AI dalam sektor kesihatan membolehkan proses diagnosis dilakukan dengan ketepatan yang lebih tinggi, sekali gus membantu doktor membuat keputusan klinikal dengan lebih baik.
Dalam sektor perniagaan pula, AI membantu syarikat mengurus inventori, meramal jualan dan memberikan perkhidmatan pelanggan secara automatik melalui chatbot yang tersedia 24 jam.
Semua ini menunjukkan bahawa AI bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah menjimatkan masa dan kos operasi organisasi.
Namun, di sebalik segala kelebihan tersebut, wujudnya persoalan penting: adakah kemajuan AI benar-benar diterjemahkan kepada manfaat kepada pengguna biasa?
Atau adakah ia sebenarnya menyebabkan kos sara hidup meningkat melalui perkhidmatan berbayar, automasi pekerjaan dan kebergantungan kepada peranti serta langganan digital?
Salah satu faktor yang kerap dibincangkan ialah penggunaan aplikasi dan perkhidmatan AI yang akan mengeluarkan kos apabila menggunakannya.
Banyak platform AI menawarkan kemudahan luar biasa seperti terjemahan automatik, penjana kandungan, analisis data dan sokongan produktiviti.
Namun, kebanyakan ciri terbaik hanya dapat diakses melalui pelan berbayar yang mencapai puluhan atau ratusan ringgit sebulan.
Bagi golongan pelajar atau pekerja berpendapatan sederhana, kos-kos ini akhirnya menambah beban kepada perbelanjaan bulanan.
Malah, ia secara tidak langsung mencipta jurang digital antara mereka yang mampu melanggan teknologi canggih dan mereka yang terpaksa bergantung kepada kemudahan percuma yang terhad.
Selain itu, perkembangan AI juga membawa isu besar mengenai masa depan pekerjaan.
Automasi yang semakin meluas membawa kepada pengurangan tenaga kerja dalam sektor-sektor tertentu.
Kerja-kerja asas seperti perkhidmatan pelanggan, pemprosesan data dan tugas pentadbiran menjadi antara yang paling terkesan.
Walaupun automasi meningkatkan kecekapan, ia memberi tekanan kepada pekerja yang kehilangan punca pendapatan dan terpaksa mencari kemahiran baharu untuk kekal relevan dalam pasaran kerja.
Proses ini sememangnya memerlukan masa dan kos latihan tambahan, sekali gus menambah beban individu dan keluarga.
Namun begitu, suasana ini bukanlah semata-mata negatif. Teknologi AI turut membuka banyak peluang pekerjaan yang baharu dalam industri digital.
Permintaan terhadap pereka aplikasi, saintis data, jurutera AI, pembangun automasi dan pakar keselamatan siber semakin meningkat di seluruh dunia.
Individu yang bersedia menyesuaikan diri dan meningkatkan kemahiran berpeluang meraih pendapatan lebih tinggi berbanding pekerjaan tradisional.
Dalam hal ini, AI boleh dianggap sebagai pemangkin yang meningkatkan taraf hidup, bukan sebaliknya.
Dalam konteks pengguna harian, AI membawa transformasi besar kepada cara kita berbelanja, bekerja, belajar dan berhibur.
Contohnya, AI dalam aplikasi Mint, My Tabung dan sebagainya, dapat membantu individu dalam mengurus kewangan mereka, justeru mereka dapat mengawal perbelanjaan dengan lebih sistematik dan terancang.
Aplikasi peta dan navigasi yang dikuasakan AI pula mengurangkan masa perjalanan dan penggunaan bahan api dengan mencadangkan laluan paling efisien.
Bahkan dalam dunia pendidikan, AI menyediakan kelas tambahan, latihan soalan dan platform pembelajaran peribadi yang lebih fleksibel dan mampu meningkatkan prestasi pelajar.
Semua ini boleh dianggap sebagai nilai tambah kepada kehidupan masyarakat moden.
Namun, persoalan kos sara hidup tetap menjadi isu utama.
Kebergantungan kepada peralatan pintar seperti telefon pintar, komputer riba berkuasa tinggi dan sambungan internet pantas kini menjadi keperluan asas bagi mengakses perkhidmatan AI. Kesemua ini menuntut perbelanjaan yang bukan sedikit.
Di samping itu, perkembangan AI dalam sektor perniagaan juga boleh membawa kepada peningkatan harga barangan.
Syarikat yang melabur besar dalam perisian AI, peralatan data dan tenaga pakar mungkin memilih untuk memindahkan kos operasi tersebut kepada pengguna.
Akibatnya, harga perkhidmatan dan barangan meningkat secara perlahan, menyumbang kepada inflasi yang semakin dirasai.
Walaupun demikian, penting untuk melihat perkembangan AI daripada sudut yang lebih seimbang.
Pada hakikatnya, teknologi baharu sering membawa perubahan yang disertai cabaran. Sama seperti era revolusi industri dahulu, mesin membawa perubahan besar kepada cara manusia bekerja dan hidup.
Namun, dalam jangka masa panjang, ia meningkatkan produktiviti, menurunkan kos pengeluaran dan memperbaiki kualiti hidup.
Perkara yang sama berpotensi berlaku dengan AI, bergantung kepada bagaimana teknologi tersebut dikendalikan dan diterapkan negara.
Kerajaan dan syarikat teknologi memainkan peranan penting dalam memastikan manfaat AI dapat dinikmati secara inklusif.
Pembangunan program latihan kemahiran, subsidi peralatan dan kawal selia harga langganan teknologi dapat mengurangkan beban kepada golongan berpendapatan rendah.
Pada masa yang sama, pengguna perlu dididik supaya lebih bijak menggunakan teknologi dan memahami risiko seperti keselamatan data serta kebergantungan melampau kepada automasi.
Akhirnya, persoalan sama ada AI menjadi pemangkin kemudahan atau penyumbang kepada peningkatan kos sara hidup?
Perkara ini bergantung kepada cara individu menggunakan teknologi AI dan memaksimumkan segala kelebihan yang ada daripada teknologi AI.
Jika dikendalikan dengan betul, AI berpotensi menjadi jambatan yang membawa masyarakat ke era yang lebih maju, efisien dan berkualiti tinggi.
Namun jika dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh melebarkan jurang sosial dan meningkatkan tekanan kos sara hidup.
Oleh itu, masyarakat perlu bersikap realistik dan berhati-hati, di samping memanfaatkan kelebihan teknologi ini.
Masa depan AI bukan hanya bergantung kepada kemajuan mesin, tetapi juga kepada kebijaksanaan manusia menguruskan perubahan.
Dalam dunia yang semakin dipacu digital, keseimbangan antara manfaat teknologi dan kesejahteraan rakyat harus menjadi keutamaan agar kemajuan yang dicipta tidak hanya dinikmati oleh segelintir, tetapi oleh seluruh lapisan masyarakat.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mazarina Salsabila Abdul Haris
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my