Sedekah mempunyai maksud yang cukup luas dalam Islam dan ia boleh didefinasikan sebagai pemberian seseorang kepada orang lain yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
Kebiasaannya sedekah akan ditujukan kepada mereka yang kurang berkemampuan seperti fakir miskin, sanak saudara mahupun untuk kepentingan jihad fi sabilillah.
Untuk itu, baru-baru ini, Politeknik Kota Bharu (PKB) mengambil inisiatif memberi dan bersedekah pada bulan Ramadan menerusi program Bakul Kasih Ramadan.
Selain mengagihkan sumbangan kepada mereka yang layak, program itu juga bertujuan mengeratkan hubungan ukhwah antara warga PKB dan memberi kesedaran tentang sikap prihatin kepada golongan kurang berkemampuan.
Menurut Pengarah PKB, Sr Mohd Fikri Ismail, penganjuran program Bakul Kasih Ramadan sangat bertepatan dengan bulan Ramadan untuk bersama–sama menghayati makna memberi dan bersedekah.
"Saya terkejut dan tidak menjangka kita mampu mengumpul hampir RM7,000 melalui tabung sumbangan yang diedarkan.
"Justeru, besar harapan saya dengan sumbangan yang diagihkan ini dapat meringankan beban para pekerja sokongan PKB,” ujarnya dengan menambah penglibatan semua pegawai dan kakitangan PKB dalam program ini mampu menyemai sikap prihatin dan mengambil berat kepada pihak yang lebih memerlukan.
Seramai 100 pekerja sokongan yang terdiri daripada 69 pekerja kebersihan, 22 pengawal keselamatan dan lapan pekerja Taska Cilik PKB telah menerima sumbangan bakul yang disampaikan Mohd Fikri di Dewan Al–Ghazali, PKB.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Kecil PKB, Zuriah Abdullah; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, PKB, Saifuddin Semail; Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Unit PKB.
Sementara itu, Ketua Jabatan Perdagangan, PKB, Juli Suzlin Jalaludin memberitahu, program tersebut cukup bermakna kepada 100 penerima dari politeknik ini.
"Mereka adalah kumpulan pekerja sokongan yang selama ini sentiasa melancarkan dan mempermudahkan segala urusan di PKB.
"Tanpa mereka, mana mungkin PKB mampu meraih kecemerlangan dalam pelbagai bidang tambahan pula kita di PKB merupakan keluarga besar dan semestinya perlu bantu membantu antara satu sama lain,” ujarnya.