Lebih 1,200 penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima pengagihan pek makanan menerusi Projek Komuniti Moreh di Masjid Sayyidina Abu Bakar, UTeM baru-baru ini.
Menurut Pengarah Pusat Pengurusan Alumni & Kebolehpasaran Graduan (PPAKG), UTeM, Dr Hazli Rafis Abdul Rahim, program anjuran Persatuan Alumni UTeM (AUTeM) dan McDonald's Krubong merupakan inisiatif kerjasama yang bermakna antara AUTeM dan McDonald’s.
"Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, sekurang-kurangnya projek Komuniti Moreh dapat meringankan beban penuntut di samping memberikan kegembiraan serta kenangan indah berpuasa di universiti," ujarnya.
Pengurus McDonald's Krubong, Kaswadi Husman pula berkata, pihaknya sangat prihatin dan mengambil berat cabaran kehidupan mahasiswa di kampus lebih-lebih lagi dia sendiri merupakan alumni UTeM.
"Saya berasa gembira dan bertuah kerana melalui pekerjaan di sini, saya dapat menyalurkan bantuan kepada mahasiswa UTeM dan sedikit sebanyak turut membawa diri kembali mengimbau kenangan susah senang yang pernah dilalui sewaktu zaman bergelar mahasiswa satu masa dahulu," ujarnya pada sesi agihan pek makanan pada Selasa.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA), Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad dan Presiden Alumni UTeM, Ts Zulfadhli Datuk Idrus.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada AUTeM dan McDonald’s atas inisiatif yang dilakukan.
Katanya, projek itu akan menjadi contoh dalam membentuk corak kerjasama dan memberikan teladan yang baik daripada alumni kepada mahasiswa untuk kembali menyumbang apabila bergelar alumni.
Dalam pada itu, mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan yang juga Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM, Muhammad Nurhakim Abu Zaz melahirkan kegembiraan dengan kehadiran alumni UTeM dan pasukan McDonald’s Krubong.
"Saya berharap Projek Komuniti Moreh dapat dilaksanakan lagi pada Ramadan akan datang kerana ia bukan sahaja membantu meringankan beban kami tetapi turut memberi inspirasi kepada semua penuntut melalui kehadiran alumni-alumni pelbagai bidang," jelas Muhammad Nurhakim.