5 maksud bacaan Indeks Pencemaran Udara jerebu yang perlu anda tahu

Iklan
Masalah jerebu mengundang pelbagai risiko penyakit kepada orang ramai.

Susulan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini, orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka, payung dan topi bagi mengelakkan sebarang risiko penyakit akibat cuaca panas dan masalah jerebu.

Mereka juga disarankan tidak menjalankan aktiviti luar bangunan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 iaitu indeks kualiti udara yang tidak sihat.

Iklan
Iklan

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata, masyarakat diminta menutup tingkap bagi mengurangkan partikel jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.

"Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.

Iklan

"Selain itu, banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Ini bagi mengekalkan tahap hidrasi badan yang berperanan mengawal-atur suhu badan.

"Seterusnya, kerapkan mandi bagi menyejukkan badan. Elakkan memakai pakaian tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba daripada badan,” jelas Zaliha.

Iklan

Berkongsi mengenai bacaan IPU bagi jerebu pula, Sinar Bestari tertarik dengan perkongsian portal hellodoktor, baru-baru ini.

Dalam portal tersebut, ada disenaraikan lima nilai IPU yang menjadi panduan kepada orang ramai untuk menunjukkan jumlah bahan pencemar di udara sepanjang tempoh tertentu.

Berdasarkan nilai IPU tersebut, anda dapat mengetahui kualiti udara, kesan kepada kesihatan dan langkah berjaga-jaga yang diperlukan.

Hari ini, Sinar Bestari kongsikan dengan pembaca lima nilai indeks untuk pengetahuan guru, pelajar, ibu bapa dan orang ramai.

Lima nilai IPU yang dimaksudkan terdiri daripada

1) Nilai IPU: 0-50 (Baik)

Kesan kesihatan umum: Sedikit atau tiada

Nasihat kesihatan: Tiada

2) Nilai IPU: 51-100 (Sederhana)

Kesan kesihatan umum: Sesetengah bahan pencemar mungkin membimbangkan kesihatan sederhana bagi sebilangan kecil individu yang sangat sensitif terhadap pencemaran udara.

Nasihat kesihatan: Individu yang sensitif perlu mempertimbangkan bagi mengurangkan pendedahan kepada dirinya.

3) Nilai IPU: 101-200 (Tidak sihat)

Kesan kesihatan umum: Simptom kerengsaan sementara seperti kerengsaan mata, bersin atau batuk dalam beberapa kalangan penduduk yang sihat.

Nasihat kesihatan: Warga emas, kanak-kanak, menghidap sakit jantung atau penyakit pernafasan dan orang ramai harus mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti luar yang lasak.

4) Nilai IPU: 201-300 (Sangat tidak sihat)

Kesan kesihatan umum: Keadaan yang ketara, toleransi berkurang dan kadar kematian pramatang bagi penghidap penyakit jantung atau paru-paru. Lebih banyak simptom kerengsaan sementara dalam kalangan penduduk yang sihat.

Nasihat kesihatan: Warga emas, kanak-kanak dan penghidap penyakit jantung atau paru-paru harus berada di dalam rumah dan kurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti luar manakala penduduk pula perlu mengelakkan aktiviti luar lasak buat seketika.

5) Nilai IPU: 300 ke atas (Bahaya)

Kesan kesihatan umum: Permulaan awal penyakit tertentu selain daripada simptom dan kadar kematian pramatang yang ketara kepada individu yang terdedah serta mengurangkan toleransi senaman individu yang sihat.

Nasihat kesihatan: Warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit serta orang ramai perlu berada di dalam rumah dan mengelakkan semua aktiviti luar yang tidak diperlukan.

Selain maklumat tentang bacaan IPU, Sinar Bestari turut senaraikan enam langkah penjagaan diri untuk diamalkan sepanjang jerebu.

1) Ambil tahu kualiti udara setempat

Sentiasa kemas kini maklumat berkenaan kualiti udara di tempat anda sebagai langkah berjaga-jaga. Bagi memudahkan kemas kini, anda boleh terus ke laman portal Indeks Pencemaran Udara Malaysia.

2) Elakkan aktiviti luar semasa jerebu

Kanak-kanak, ibu hamil, warga emas dan orang yang menghidap penyakit kronik khususnya penyakit jantung dan pernafasan perlu kekal di dalam rumah apabila kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.

Orang dewasa yang sihat perlu elakkan aktiviti luar yang tidak diperlukan. Jika perlu bersenam, elakkan bersenam di kawasan yang sangat sesak berhampiran jalan raya, terutamanya semasa waktu sibuk.

3) Minum banyak air

Minum lebih banyak air dan tingkatkan pengambilan buah-buahan serta sayuran segar kerana ia membantu tubuh menyingkirkan toksin yang diserap melalui kulit, paru-paru dan memperbaiki sistem imun.

Pengambilan lebih banyak buah dan sayur anti-radang juga membantu mengurangkan keradangan yang disebabkan zarah halus udara yang berbahaya. Kurangkan pengambilan kopi dan alkohol kerana ia mengalakkan kehilangan cecair dan melarutresapkan nutrien dari tubuh.

4) Tutup tingkap dan pintu

Ini bertujuan untuk mengurangkan zarah halus memasuki rumah secara terus. Hidupkan penghawa dingin jika ada.

5) Kurangkan merokok

Hadkan atau elakkan merokok di kawasan tertutup, kurangkan penggunaan dapur gas, lilin dan apa-apa sahaja yang membakar serta mengeluarkan asap. Di kawasan tertutup, asap, gas dan bahan pencemar mendorong kepada tahap berbahaya jika ia terus membakar untuk tempoh masa yang panjang.

6) Pakai topeng muka ketika jerebu

Dalam keadaan jerebu, pakai topeng muka semasa berada diluar. Ia bagi melindungi dan menyekat udara tercemar daripada memasuki hidung dan mulut. Ia juga menapis dengan betul bagi mengeluarkan zarah halus yang terdapat dalam jerebu.