Mahasiswa Ijazah Kedoktoran (PhD), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Aissvarya Shankar melahirkan rasa terkejutnya apabila dinobatkan johan pertandingan Tesis Tiga minit (3MT) peringkat UPM 2023 baru-baru ini.
Katanya, dia tergamam dan tidak percaya dengan kemenangan yang diperolehi dalam pertandingan tersebut.
"Apa-apa pun, saya menganggap kejayaan dalam 3MT adalah rezeki yang paling ‘mahal’,” ujarnya yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000 sekali gus mewakili UPM pada pertandingan yang sama ke peringkat kebangsaan nanti.
Selain Aissvarya, dua lagi mahasiswa PhD dari UPM iaitu Muhammad Safwan Zaini dan Nur Izzah Md Nasir yang menyertai 3MT turut terpilih mewakili universiti itu ke peringkat kebangsaan.
Muhammad Safwan telah diumumkan sebagai pemenang tempat kedua manakala Nur Izzah merangkul tempat ketiga.
Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM800 dan RM600 atas kemenangan dalam pertandingan tersebut.
Sementara itu, Aissvarya berkata, dia kini sedang melakukan persediaan rapi dan menjalani latihan bersama mentor dari Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) UPM untuk pertandingan 3MT peringkat kebangsaan.
"Doakan saya dan rakan-rakan berjaya menjulang nama UPM dalam pertandingan tersebut,” ujarnya.
3MT ialah pertandingan penyelidikan yang dibangunkan oleh Universiti Queensland (UQ) bertujuan menyediakan peluang kepada mahasiswa PhD memupuk kemahiran akademik, komunikasi penyelidikan dan kemahiran pembentangan.
Selain itu, 3MT juga menguji keupayaan mereka menerangkan kepentingan penyelidikan secara efektif kepada penonton di luar bidang dalam masa tiga minit.
Untuk menyertai pertandingan ini, peserta mestilah terdiri daripada penuntut PhD Semester Tiga dan ke atas serta telah lulus kertas cadangan penyelidikan.