Tiada seorang murid yang ingin menjadi murid nakal. Jika ada sekali pun, mungkin tidak selama-lamanya nakal kerana pasti ada sisi baik tanpa kita sedar.
Kisah murid nakal hasil perkongsian Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh menerusi telegram rasminya baru-baru ini, sememangnya telah menjentik hati netizen.
Masakan tidak, daripada menjadi murid nakal akhirnya menjadi seorang murid yang mendengar kata dan disayangi guru-guru.
Menurut Cikgu Mohd Fadli, murid nakal perlu diberi perhatian dan dididik sebaik mungkin oleh para pendidik.
"Menjadi cikgu ini bukan hanya mengajar semata-mata tetapi mendidik sikap murid, itu yang lebih utama sebenarnya,” ujarnya seperti dipetik dalam telegram tersebut.
Bagi mengetahui dengan mendalam cerita murid nakal, jom Sinar Bestari bawakan kepada anda catatan hati ke hati Cikgu Mohd Fadli dari Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Selangor.
*****
Murid ini antara murid paling nakal dalam kelas. Sejak awal tahun, hari-hari ada sahaja rungutan daripada kawan-kawan mengenai dia.
Mereka kata, selalu kena kacau dalam kelas, tidak dapat fokus ketika belajar dan sebagainya.
Sebagai guru, selalu juga marah dan tegur murid nakal ini. Tapi dia buat tidak tahu sahaja. Kadang hilang punca juga fikirkan tentang anak bertuah ini.
Jujur kata, kadang bila ada murid nakal dan degil, terdetik dalam hati...
"Awak ni, nak belajar, belajar. Tak nak belajar, sudah.”
Kadang ada terdetik begitu. Biasalah. Cikgu pun manusia, bukan malaikat. Bila sudah sedar, cepat-cepat istighfar dan betulkan niat balik serta terus sabar dalam mendidik.
Kemudian, barulah cikgu terfikir yang masa marah kena marah, masa puji, puji sungguh-sungguh sampai ‘murid nakal’ rasa istimewa dan dihargai.
"Wahhhh, hebatnya awak. Betul semua yang awak buat ini. Tulisan pun makin cantik.”
Bila puji, memang nampak ketara perubahan muka dia. Senyum sampai ke telinga. Cikgu pun gembira.
Kemudian, jika murid nakal ini buat hal, cikgu-cikgu bolehlah cakap begini...
"Awak ni dah bagus sangat dah sekarang. Ramai cikgu lain puji. Tapi hari ini awak usik lagi kawan awak. Tak suka betul cikgu. Awak buat lagi cikgu malas nak layan.”
Bila cakap begini, automatik air muka murid nakal itu penuh penyesalan dan terus minta maaf berkali-kali.
Bila cikgu sentiasa buat begini, percayalah sedikit demi sedikit perubahan sikap dapat dilihat, antaranya tidak mengusik kawan, paling awal siapkan kerja sekolah, rajin dan banyak lagi.
Sebagai cikgu, aku terus memuji dia tanpa henti. Seronok bila nampak perubahan yang berlaku pada murid nakal.
Begitulah! Menjadi cikgu ini bukan hanya mengajar semata-mata tetapi mendidik sikap murid itu paling utama yang harus dilakukan.