Keikhlasan seorang guru menjadi perhatian warga maya apabila video yang dikongsinya menerusi akaun Threads @i_Akram tular dan mencuri perhatian ramai.
Kisah ringkas melibatkan seorang pelajar bernama Sufi Iman itu bukan sahaja menyentuh emosi, malah membuka mata tentang makna sebenar kasih seorang pendidik.
Dalam video berkenaan, Cikgu Akram dilihat memanggil anak didiknya ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung.
"Sufi…Sufi Iman mana. Lama saya tengok tak pakai kasut (sekolah) pasaipa," tegurnya lembut.
Jawapan yang diterima cukup sederhana, namun menikam perasaan.
"Kasut tak ada," jujur Sufi Iman memberitahu.
Tanpa meninggikan suara, tanpa memalukan pelajar di hadapan rakan sekelas, Cikgu Akram terus bertanya dengan penuh empati.
"Tak ada duit nak beli? Hang pakai kasut saiz apa?
Apabila Sufi Iman menjawab saiz 41 atau UK tujuh setengah, Cikgu Akram tanpa berlengah terus mengajak pelajar itu ke keretanya.
"Kalau saya bagi kasut, kamu pakai hari-hari ya. Jom ikut saya, ambik kasut di kereta."
Detik paling menyentuh hati berlaku di sisi kereta milik Cikgu Akram. Sufi Iman dilihat mencuba sepasang kasut Adidas yang diberikan kepadanya. Difahamkan, kasut itu bukan kasut biasa ia adalah kasut kesayangan Cikgu Akram sendiri.
Sambil melihat Sufi Iman menyarung kasut tersebut, Cikgu Akram menitipkan nasihat yang menusuk terus ke hati.
"Kamu mak tak dak kan. Ayah ada lagi? Kerja apa? Guard. Pakai elok-elok kasut sebab saya pun sayang kasut tu. Belajar bersungguh-sungguh. Saya pun anak yatim macam kamu jugak."
Ayat itu membuat ramai tersentak. Seorang guru, yang pernah melalui kehilangan, memilih untuk memahami bukan menghakimi. Memilih untuk memberi, bukan sekadar bersimpati.
Untuk Cikgu Akram, terima kasih kerana mengajar kami bahawa menjadi guru bukan hanya tentang silibus dan peperiksaan, tetapi tentang hati yang sanggup memahami kesusahan orang lain.