Julea Qiestyna bakal diangkat sebagai ikon pengajian tinggi Perak

Iklan
Rezeki Julea Qiestyna (tiga dari kanan) yang bakal diangkat ikon pengajian tinggi Perak.

"Julea Qiestyna Abu Zar akan diangkat sebagai ikon pengajian tinggi Perak.”

Demikian kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berhubung kejayaan mahasiswa Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak yang meraih markah tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi di dunia bagi kertas peperiksaan Recording Financial Transactions (FA1) sesi Mac 2023.

Beliau berkata, pemilihan Julea Qiestyna sebagai ikon akan dibawa dan dibincangkan kerajaan Perak agar dapat dijadikan motivasi kepada penuntut lain.

Iklan
Iklan

"Kecemerlangan dan kejayaan anak kelahiran Kulai, Johor, ini adalah suatu yang membanggakan dan perlu dikongsi kepada masyarakat umum.

"Justeru, kita akan berbincang agar proses mengangkat ikon ini dapat direalisasikan,” ujarnya ketika kunjungan rasmi ke UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar pada Selasa.

Iklan

Hadir sama Rektor UiTM Cawangan Perak, Profesor Madya Dr Nur Hisham Ibrahim.

Pada pertemuan itu, Khairudin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Perak, turut menyampaikan inisiatif daripada kerajaan negeri kepada Julea Qiestyna.

Iklan

Dalam peperiksaan itu, Julea Qiestyna, 19, memperoleh 98 daripada 100 markah dalam peperiksaan FA1 sesi Mac 2023.

Beliau merancang untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan perakaunan sebaik tamat Program Asasi Perakaunan di UiTM nanti.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, menjadi impiannya untuk bergelar akauntan satu hari nanti.

"Berbicara mengenai kejayaan yang diraih, sebenarnya saya tidak mempunyai sebarang rahsia.

"Cuma apa yang boleh dikongsikan adalah saya memberi sepenuh perhatian di dalam kelas dan bijak membahagikan masa antara akademik dan aktiviti bersukan bersama rakan-rakan,” jelasnya.