Hari ini, harga makanan harian yang tinggi bukan sahaja dirasai oleh masyarakat awam sahaja tetapi ia turut menjadi beban kepada mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT).
Ini diakui sendiri oleh penuntut dari Politeknik Muadzam Shah (PMS), Pahang yang terpaksa mengeluarkan belanja tinggi semata-mata mahu membeli makanan dan minuman di kedai mahupun restoran berhampiran.
Bagi Kelab Kebajikan Staf, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), PMS, situasi penuntut mereka yang tertekan dengan kenaikan harga makanan merisaukan ahli kelab.
Justeru, mereka mengorak langkah dengan mewujudkan JKM Mart bertujuan menyediakan makanan mampu beli kepada mahasiswanya.
Di JKM Mart, terdapat pelbagai jenis makanan sarapan pagi seperti mee goreng, nasi lemak, laksa dan kuih-muih disediakan kepada mereka dengan harga serendah RM1.50 sahaja.
Menurut Ketua Penyelaras projek amal tersebut, Dr Norhafzan Bariman, bekalan makanan untuk sarapan pagi itu disediakan secara bersama oleh semua kakitangan JKM.
"Kami tidak menjemput mana-mana pembekal luar kerana mahu mengawal harga supaya kesemua makanan dijual dengan harga yang rendah.
"Setakat ini, sambutan yang diterima dalam kalangan penuntut dan kakitangan PMS sangat mengejutkan. Bayangkan, dalam masa tidak sampai setengah jam sahaja, sarapan pagi terutamanya nasi lemak dan nasi goreng yang berharga RM1.50 laku seperti 'pisang goreng panas',” ujarnya dengan menambah sarapan pagi yang dijual di JKM Mart tersebut bukan sahaja dibeli oleh warga jabatan itu sebaliknya ada juga penuntut dari jabatan lain yang turut serta membeli menu yang disediakan oleh mereka.
Sementara itu, Norhafzan yang juga pensyarah Pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal Reka Bentuk Produk, JKM, PMS berkata, kewujudan JKM Mart itu sedikit sebanyak dapat membantu mahasiswa golongan B40 yang selama ini begitu terkesan dengan kenaikan harga makanan.
"Saya secara peribadi amat menyokong penuh dengan usaha murni ini dan apa yang saya perhatikan sejak ia beroperasi, sambutannya begitu luar biasa sekali.
"Lebih mengagumkan lagi apabila ada dalam kalangan penuntut JKM sendiri yang secara sukarela bertindak sebagai ‘pembantu kedai’ dan ini satu perkembangan yang sangat positif kerana secara tidak langsung kewujudan JKM Mart berupaya menjadi wadah membina nilai keusahawanan dalam diri penuntut itu sendiri,” ujarnya.