Era teknologi masa kini menyaksikan ramai golongan muda mula memanfaatkan minat atau hobi bagi menjana sumber pendapatan lumayan meskipun sekadar dilakukan pada masa lapang.
Dengan adanya aplikasi-aplikasi serta media sosial, ia sedikit sebanyak membantu melonjakkan perniagaan kecil-kecilan yang mereka ceburi selain dapat meringankan beban kewangan keluarga.
Itulah yang dilakukan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, Afiq Affendi Zamiri yang tidak mensia-siakan bakat melukis dimilikinya sejak tiga tahun lalu sehingga berjaya menjual hampir 1,000 karya seperti potret, pemandangan, kartun anime, abstrak dan realisme.
Afiq Affendi berkata, minatnya untuk melukis tercetus sejak berusia lapan tahun dan ia masih kekal sehingga ke hari ini.
"Kira-kira tiga tahun lalu saya baru berani untuk mengambil upah melukis selepas memperkemaskan hasil kerja melalui kelas Pendidikan Seni Visual di sekolah.
"Selepas tiga tahun aktif menerima tempahan, saya berjaya menghasilkan hampir 1,000 karya dan upah yang paling banyak diterima adalah lukisan potret dengan bayaran RM25 hingga RM80 bergantung kepada saiz lukisan,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.
Anak kelahiran Gua Musang Kelantan itu memberitahu, sepanjang bergiat aktif dalam bidang seni ini, dia turut berdepan dengan beberapa cabaran yang sedikit sebanyak menganggu proses untuk menyiapkan tempahan pelanggannya.
Antara cabaran perlu dihadapi adalah cuaca panas yang menganggu fokusnya selain kesuntukan masa untuk menyiapkan lukisan dengan baik seperti yang telah dijanjikan dengan pelanggan.
"Saya pernah menyiapkan mural di dinding bangunan serta kedai dalam keadaan cuaca panas dan juga pernah bekerja pada bulan Ramadan.
"Cabaran ini walaupun kelihatan sukar pada mata kasar namun sekiranya ia disulami dengan minat nescaya segala kerja dapat diselesaikan,” ujarnya lagi.
Bercerita lebih lanjut, anak kedua daripada tiga beradik itu turut memaklumkan, dia mengiklankan perkhidmatannya menerusi aplikasi WhatsApp bagi mencari pendapatan sendiri selain mahu berdikari tanpa menyusahkan ibu bapanya.
Selain itu, dia yang bercita-cita ingin menjadi pereka grafik satu hari nanti berkata, hasil jualan yang diperoleh selama berkecimpung dalam perniagaan ini disimpan dalam tabung pendidikan untuk menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi (IPT) kelak.