Dilema pelajar TVET selepas tamat belajar

Iklan
Ada antara lepasan graduan TVET berdepan kesukaran mendapat pekerjaan, sekali gus melupakan hasrat menjadi tenaga kerja profesional.

Graduan kemahiran atau Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sesuatu yang asing di Malaysia.

Namun golongan ini sering berdepan dilema apabila sijil yang dimiliki tidak diiktiraf oleh organisasi pekerjaan khususnya dalam sektor awam.

Iklan
Iklan

Mereka mempunyai masalah untuk memohon pekerjaan dalam sektor awam kerana sijil yang dikeluarkan tidak mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan itu adalah keadaan yang tidak sepatutnya berlaku.

Terdapat sebahagian pelajar lepasan TVET terpaksa bekerja di luar bidang yang dipelajari, malah ada antara mereka yang berdepan kesukaran mendapat pekerjaan, sekali gus melupakan hasrat menjadi tenaga kerja profesional.

Iklan

Kebanyakan mereka akan beralih ke industri e-hailing yang lebih menguntungkan dan fleksibel dari segi masa berbanding terus menunggu surat tawaran kerja dalam bidang diimpikan kerana seringkali menerima keputusan yang menghampakan.

Selain itu, masalah polisi pengambilan sumber manusia yang tidak selari dengan perkembangan teknologi menyebabkan graduan kemahiran menghadapi kesukaran menyumbang tenaga dan idea bagi membantu merancakkan kepelbagaian industri.

Iklan

Sebaliknya, jika terdapat perubahan polisi pengambilan graduan oleh beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, ia mungkin mampu memberi impak positif kepada mereka.

Selain tidak mendapat pengiktirafan dan kesukaran memohon jawatan dalam sektor kerajaan, graduan TVET turut menghadapi masalah tingkat gaji dengan jumlah yang berbeza berbanding graduan dari universiti awam mahupun swasta.

Kelayakan setara juga tidak memberi jaminan tingkat gaji yang diterima adalah sama sehingga lulusan kemahiran berasa dipinggirkan oleh kerajaan yang sebelum ini menjanjikan masa hadapan cerah buat mereka.

Isu gaji juga antara masalah serius apabila sering menjadi pertikaian pelbagai pihak dan mendakwa lulusan teknikal terutama jurutera sukar mendapat kenaikan atas faktor kurang permintaan pemain industri untuk beberapa sektor.

Perkara itu sudah jelas membuktikan bahawa negara kita memerlukan graduan kemahiran untuk membangunkan teknologi baharu bagi merancakkan ekonomi sekiranya kerajaan masih berhasrat mencapai status negara maju.

Walaupun pahit, namun realitinya isu gaji yang bersifat statik adalah kerana kita membazirkan graduan bidang kemahiran dan teknikal yang mempunyai idea untuk membangunkan teknologi meliputi pelbagai industri.

Perbezaan gaji juga tidak sepatutnya berlaku kerana bebanan tugas mereka adalah sama.

Majikan tidak seharusnya mendiskriminasikan perbezaan kelayakan mana-mana institusi, sebaliknya mengiktiraf silibus dan akreditasi akademik mereka agar memudahkan golongan graduan mengisi kekosongan dalam sektor awam.

Menurut Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), pihaknya dari masa ke masa akan mengadakan libat urus bersama pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan graduan-graduan dalam bidang kemahiran dan teknologi mendapat tempat dalam sektor awam.

Tindakan serampang dua mata perlu dilakukan bagi mengiktiraf kelayakan mereka agar tiada pembaziran tenaga kemahiran, yang akhirnya menyebabkan mereka memilih ke luar negara untuk mencari rezeki.

Polemik ini tidak akan berkesudahan sekiranya tiada tindakan holistik dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan tiada pembaziran apabila graduan lulusan teknikal keluar daripada bidang yang mereka pelajari.

Senario itu merugikan kerana kebanyakan negara maju seperti Jerman amat mementingkan tenaga kerja kemahiran bagi membantu sektor industri yang mampu menjadi tunjang ekonomi khususnya di peringkat global.

Selain itu, sokongan daripada pelbagai pihak perlu dilakukan agar mereka masih berminat menyumbangkan idea dan membangun teknologi baharu bagi kesejahteraan negara sekali gus membantu revolusi perindustrian tempatan.

Kita sering berbangga sekiranya anak watan berjaya di luar negara, namun tanpa disedari negara sebenarnya telah kehilangan permata yang bakal memacu masa depan generasi akan datang.

Maklumat Penulis

Farhana Abd Kadir ialah Wartawan Sinar Harian