Sebanyak 113 bakul berisi barangan keperluan asas diagihkan kepada warga Politeknik Kuala Terengganu (PKT), Terengganu bersempena program Sekampit Beras Sekilo Gula baru-baru ini.
Selain komuniti PKT, beberapa individu yang tidak berkemampuan turut dipilih sebagai penerima sumbangan bagi program tersebut.
Salah seorang penerima, Ramlah Sulaiman yang merupakan ibu tunggal menghidap penyakit buah pinggang melahirkan rasa gembira kerana direzekikan mendapat keperluan asas tersebut.
"Terima kasih kepada PKT kerana prihatin dengan nasib yang dilalui saya.
"Dengan barangan yang diperolehi ini, sekurang-kurangnya ia mampu meringankan beban saya dan anak-anak,” katanya yang kini sedang menjaga seorang anak orang kurang upaya (OKU).
Bagi Che Fauziah Ngah yang juga ibu tunggal, dia melahirkan rasa sebak dan terharu apabila menerima bakul berisi keperluan asas itu.
"Saya tidak dapat membalas jasa semua penyumbang melainkan hanya mampu berdoa agar ALLAH SWT membalasnya dengan ganjaran pahala yang besar," katanya.
Sementara itu, Sekampit Beras Sekilo Gula merupakan program yang diadakan bertujuan membantu warga PKT dan golongan kurang berkemampuan sekitar daerah Kuala Terengganu.
Projek berkenaan adalah kelolaan Jabatan Matematik dan Sains Komputer dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar PKT.
Pengarah PKT, Dr Mohd Daud Isa berkata, Sekampit Beras Sekilo Gula adalah sebahagian tanggungjawab sosial PKT kepada masyarakat setempat.
"Ini kali ketujuh ia dilaksanakan. Setakat ini kita berjaya membantu mereka yang benar-benar memerlukan sumbangan.
"Terima kasih kepada individu yang sangat pemurah. Hanya ALLAH mampu membalasnya,” ujarnya selepas menyampaikan bakul sumbangan kepada para penerima dalam satu majlis baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Akademik, Dr Tengku Azman Tengku Mohd dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Marzuki Hussain.
Dalam pada itu, sukarelawan program merangkap penuntut PKT, Muhammad Arif Aiman Razak berkata, Sekampit Beras Sekilo Gula wajar diteruskan pada masa akan datang kerana ia mendidik mahasiswa dengan sifat kasih sayang dan saling membantu sesama insan.