Intipati penting dalam kandungan kerjasama Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sohar (US) di Oman adalah membangunkan program Keusahawanan Hijau dan Keusahawanan Sosial yang bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-duanya.
Ini diakui sendiri Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Razli Che Razak di mana kedua-dua elemen itu dijangka bakal memberikan impak yang besar kepada UMK dan US.
Katanya, impak yang besar itu dapat dilihat pada program kerjasama penyelidikan Projek UMK-US menerusi dua projek padanan geran penyelidikan yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Sambung beliau, projek UMK-US yang diketuai Ketua Penyelidik Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global (GERIC), Profesor Madya Dr Noorshella Che Nawi dan Dr Naeem Hayat (US) akan memfokuskan kepada program Keusahawanan Hijau dan Keusahawanan Sosial dalam kalangan remaja wanita.
"Projek yang dilaksanakan ini selari dengan Dasar Keusahawanan Negara dan Oman Vision 2040 yang banyak menekankan aspek keusahawanan.
"Dalam masa yang sama, beberapa agenda dibincangkan untuk meluaskan lagi kerjasama antara UMK-US.
"Pihak US amat berminat untuk berkoloborasi dalam bidang keusahawanan selepas tertarik dengan pencapaian cemerlang UMK melalui Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) dalam aktiviti-aktiviti keusahawanan penuntut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Razli berkata, US juga teruja untuk bekerjasama dengan UMK bagi pelaksanaan program akademik 2+2 dan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan bio.
"Saya sangat gembira apabila UMK dapat menjalinkan kerjasama dengan US dalam beberapa aspek.
"Hasil kerjasama ini, ia secara tidak langsung telah mencapai hasrat UMK dalam mempromosikan universiti di persada antarabangsa sekali gus menjadikan UMK sebuah Universiti Keusahawanan yang terunggul pada masa hadapan,” ujarnya.
Sebelum itu, Razli dan Naib Canselor US, Dr Hamdan Sulaiman Al Fazari telah menyempurnakan MoA di Oman baru-baru ini.
Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama (TYT), Shaiful Anuar Mohammad; Timbalan Naib Canselor (Akademik) US, Profesor Hamza Edrees; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Abdullah Ali Al; Dekan Fakulti Bisnes, Profesor Nur Naha Abu Mansor; Ketua Pembangunan Penyelidikan, Profesor Kelvin Bwalya dan Pegawai Inisiatif Strategik, Tina Montgomery.