Produk inovasi dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), FIDORE diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas (Best Green Invention Award) pada 34th International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Selain Anugerah Khas, FIDORE turut merangkul satu pingat emas dalam pertandingan tersebut.
Menurut Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin, FIDORE merupakan inovasi yang dihasilkan daripada bahan semula jadi, sejenis tumbuhan dan berfungsi sebagai panel dinding kalis api dalam sesebuah bangunan.
"Selain FIDORE, ada beberapa lagi inovasi UTeM turut meraih kepelbagaian anugerah yang dipertandingkan di ITEX 2023.
"Inovasi seperti i-CETIKE, Advance Portable Oil Spill Skimmer (AD-POSS), Rapid Advance Future (RAF) Lightweight Prosthetic Leg, Salutan Swa Sembuh (SeHCo) dan banyak lagi turut membawa pulang pingat masing-masing.
"Kejayaan ini secara tidak langsung menggambarkan produk inovasi universiti terus diiktiraf dan menjadi pilihan juri kerana keunikan dan fungsinya yang memberi impak langsung kepada kemaslahatan komuniti sejagat,” ujarnya.
Massila berkata, secara keseluruhannya kesemua produk inovasi UTeM yang dipertandingkan berjaya memenangi satu Anugerah Khas (Best Green Invention Award) dan 10 pingat di ITEX 2023.
"UTeM telah memenangi lima pingat emas, empat perak dan satu gangsa.
"Kemenangan ini menunjukkan kegigihan UTeM yang sentiasa menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi secara berterusan,” jelas beliau.
Penganjuran ITEX 2023 yang memasuki tahun ke-34 merupakan pameran reka cipta dan inovasi berprestij antarabangsa.
Ia bertujuan menggalakkan dan menonjolkan keupayaan penyelidik muda bagi meneroka kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis
Acara tahunan anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dan C.I.S Network Sdn Bhd itu menjadi medan kepada lebih 500 penyertaan kumpulan pencipta inovasi dari serata dunia yang menampilkan produk inovasi berimpak global.
INFO
1) Anugerah Khas (Best Green Invention Award) dan satu pingat emas – FIDORE diketuai Profesor Madya Ir Ts Dr Mohd Yuhazri Yaakob
2) Pingat emas
Inovasi i - CETIKE diketuai Ir Ts Dr Nik Mohd Zarifie Hashim
AD-POSS diketuai Profesor Madya Ir Dr Lokman Abdullah
RAF Lightweight Prosthetic Leg diketuai Mohammad Rafi Omar
SeHCo diketuai Ts Dr Mohd Fauzi Mamat
3) Pingat perak
Produk Profit- WCO
Low Cost and Light Weight Composite Reinforced Plunger (LCRP) for Agriculture Industries
CEMiS - Online Customer Engagement Measurement Kit for Malaysian SME
Hydro Quality Monitoring System (HydroQS) V1
4) Pingat gangsa
Inovasi Flash Flood Alert App (FLAOA)