Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) menjadi rakan strategik baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi mengukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya pengkomersialan.
PSAS dalam kunjungan rasmi buat julung kalinya ke universiti pendidikan terulung itu diketuai pengarahnya, Ts Mohd Zulkefli Ibrahim bersama 23 kakitangan memperlihatkan komitmen yang tinggi untuk berkolaborasi bersama UPSI.
Mohd Zulkefli yang baru dilantik sebagai Pengarah PSAS berhasrat dan beriltizam memacu kecemerlangan PSAS bersama-sama UPSI.
UPSI yang diketuai Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menganggap, pertemuan hasil kunjungan hormat PSAS ke universiti itu akan membuka lembaran baharu kepada aspirasi melonjakkan pencapaian universiti tambahan kedua-dua institusi berada di daerah yang sama iaitu Muallim, Perak.
"Justeru, usahasama perlu dilakukan antara PSAS dan UPSI memandangkan keduanya mempunyai kelebihan yang boleh disatukan untuk merangka kerjasama yang lebih besar dalam melonjakkan daerah Mualllim,” ujar beliau.
Md Amin berkata, antara fokus kerjasama adalah dari aspek inovasi, robotik dan pengkomersialan yang perlu digemblengkan untuk mengukuhkan kedua-dua institusi selain menawarkan pelbagai kemudahan sukan dan penginapan.
"Kami sangat berminat untuk memberi tumpuan terhadap aspek berkenaan malah ia boleh menjana pendapatan untuk membantu PSAS sendiri,” jelas beliau.
Era kini, inovasi antara agenda negara yang perlu digerakkan oleh UPSI dan PSAS untuk saling membudaya inovasi dalam kalangan mahasiswa.
Malah kata Md Amin, PSAS memiliki bengkel-bengkel teknologi seperti automotif dan mekanikal yang hebat dan boleh dimanfaatkan oleh penuntut UPSI dan mereka bersedia membayarnya untuk membolehkan PSAS menjana pendapatan.
UPSI juga bercadang menawarkan biasiswa kepada mahasiswa cemerlang PSAS dalam inovasi bagi melahirkan guru yang hebat, kreatif dan berinovatif di sekolah-sekolah dan kolej vokasional kelak.
Sebelum itu, beberapa wakil dari UPSI turut serta dalam sesi kunjungan PSAS ke UPSI.
Antaranya ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin; Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.
Dalam pada itu, Mohd Zulkefli yang baru dilantik sebagai Pengarah PSAS, memiliki pencapaian menarik dan boleh diikongsi bersama UPSI sebagai rakan strategik baharu.
Katanya, usahasama yang bakal dilaksanakan berkonsepkan ‘batter trade’ bagi menjayakan sebarang program seperti penggunaan kemudahan yang dimiliki UPSI dan PSAS.
Selain itu, ujarnya, PSAS sedia bekerjasama dengan UPSI dalam memperkasakan bidang lain seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).