Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal diumumkan 8 Jun ini.
Selain calon peperiksaan, ibu bapa dan penjaga dilihat sebagai individu yang turut merasai debaran menantikan keputusan SPM anak masing-masing.
SPM yang diduduki pelajar Tingkatan Lima dikatakan menjadi medan penanda aras dalam menentukan hala tuju minat, cita-cita dan jangkaan kerjaya masa hadapan seorang pelajar.
Oleh itu, keputusan SPM umpama tiket penting untuk mereka menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi misalnya pembelajaran ke Tingkatan Enam, mengikuti asasi atau diploma dan sebagainya.
Sama ada keputusan yang diterima baik atau tidak, kelangsungan hidup perlu diteruskan.
Meneruskan pengajian dengan pilihan bersesuaian berdasarkan keputusan cemerlang sering dilihat lebih mudah, berbanding keputusan peperiksaan yang mendukacitakan.
Hala tuju dan minat dalam kerjaya
Setiap individu sudah tentu mempunyai impian dan cita-cita hebat dalam kehidupan.
Justeru, untuk mencapai impian tersebut, mereka memerlukan satu kerjaya yang baik dan boleh menjamin masa depan.
Beruntunglah mereka yang sudah jelas hala tuju kerjayanya. Apa yang diperlukan hanyalah menyusun strategi untuk mencapainya.
Namun begitu, bagi seseorang yang tidak peka atau masih tidak jelas hala tuju, mereka wajar dibimbing dengan baik. Ibu bapa, ahli keluarga dan guru adalah individu yang layak mengambil peranan tersebut.
Selain itu, kesediaan pihak sekolah menganjurkan program seperti Karnival Pendidikan Tinggi atau membenarkan institut pendidikan tinggi (IPT) turut serta meraikan pelajar semasa pengumuman keputusan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan menawarkan khidmat nasihat dan promosi pelbagai program pengajian IPT sangat wajar diberi penghargaan.
Ketika inilah pelajar dengan keputusan sedia ada di tangan, dapat mempertimbangkan semula ke manakah hala tuju mereka.
Jaringan komuniti yang baik antara sekolah dengan IPT dapat diperkasakan untuk manfaat para pelajar.
Bagi yang mendapat keputusan cemerlang dari aliran sains, peluang mereka sangat besar dan mudah laluannya.
Apatah lagi dengan galakan kerajaan melalui pelbagai biasiswa dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi pengajian di dalam atau luar negara.
Walaupun ramai yang memberi tumpuan kepada STEM, jangan pula dilupakan pengajian bidang sains sosial yang masih memerlukan tenaga mahir walaupun dengan nisbah 40:60 berbanding bidang sains.
Difahamkan banyak peluang pengajian ditawarkan di seluruh universiti awam dan swasta di negara ini berkaitan pengajian bidang sains sosial.
Malah peluang pekerjaan hampir keseluruhan organisasi masih memerlukan tenaga kerja dalam bidang tersebut seperti di Bahagian Sumber Manusia, Komunikasi Korporat, Pemasaran Digital dan Kewangan.
Cabaran teknologi dan anak muda
Tidak disangkal, cabaran ibu bapa sangat besar apabila teknologi digital telah menguasai segenap ruang rumah mereka.
Begitu pun, ia harus dilihat daripada sudut positif sekali gus dijadikan sandaran kuat dalam mengenal pasti minat anak-anak yang mungkin kurang menyerlah akademiknya.
Bagaimanapun, kehebatan sistem dalam talian itu telah membuatkan ramai remaja hanyut dengan ledakan teknologi terkini. Mereka leka dengan gajet dan permainan internet di rumah.
Tanpa pengawasan bijak ibu bapa dan motivasi yang sewajarnya, mereka lebih berserah kepada ketentuan hidup dan tidak berminat menyambung pengajian kerana tanggapan kesukaran melalui tugasan dan peperiksaan bersifat ilmiah.
Anak-anak muda seperti ini masih mempunyai peluang menyambung pengajian berasaskan kemahiran dan teknikal sekurang-kurangnya hingga ke peringkat diploma atau sijil kemahiran tinggi.
Mengiringi minat dengan ketekunan
Selain STEM, dasar kerajaan yang turut menumpukan usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah satu petunjuk jelas bahawa lepasan SPM perlu dilatih dengan aspek kemahiran teknikal.
Ini juga sebagai indikasi yang kerjaya dalam bidang ini sangat luas permintaannya di pasaran kerja.
Lebih menarik apabila syarat asas kemasukannya tidak memerlukan kelulusan yang baik atau cemerlang. Maka tiada seorang pun sebenarnya yang dipinggirkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.
Minat yang telah dikenal pasti perlu diiringi dengan ketekunan dan ketelitian.
Ini kerana walaupun pendidikan TVET kurang memerlukan tumpuan akademik, namun ketekunan, komitmen, disiplin dan ketelitian sangat diutamakan.
Bagi anak muda lelaki terutamanya kepakaran aspek kemahiran teknikal menjadi nilai tambah dalam mendapatkan pekerjaan.
Ganjaran berupa upah atau gaji yang tinggi dan insentif kerja seringkali lebih istimewa berbanding pekerjaan profesional yang lain.
Setiap individu perlu mengetahui minat dan kelebihan yang ada pada diri, agar mudah untuk mereka membuat keputusan dalam proses meneruskan pengajian pada masa akan datang.
Ketelitian pembuatan keputusan
Membuat keputusan masa depan memerlukan kewarasan akal dan pertimbangan yang rasional. Jika tersilap berkemungkinan akan menyebabkan rasa kecewa dan kesal dek impian yang tidak tercapai.
Bagi pelajar yang tidak pasti minat ataupun kerjaya yang sesuai, mereka digalakkan berjumpa dengan kaunselor sekolah untuk mendapatkan nasihat.
Kaunselor sekolah boleh memberikan runding cara melalui ujian kerjaya dan ini bertujuan mencerap kekuatan, keutamaan dan bidang keserasian seseorang dengan pelbagai pekerjaan.
Hasil ujian kerjaya ini boleh membantu individu dalam proses membuat pilihan program pengajian yang seterusnya.
Bagaimanapun, ujian kerjaya hanyalah satu komponen dalam proses membuat keputusan kerjaya.
Namun keputusannya harus dipertimbangkan seiring dengan faktor lain seperti nilai peribadi, latar belakang pendidikan, pengalaman kerja dan arah aliran pasaran.
Tidak dinafikan, terdapat kes remaja yang memohon kursus yang diminati tetapi gagal untuk menempatkan diri dalam program berkaitan.
Mereka terpaksa akur dengan tawaran IPT dan sebahagiannya bagi menunaikan hasrat ibu bapa dan terus menerima tawaran yang diberikan tanpa melihat peluang pekerjaan masa hadapan.
Seterusnya, sebelum membuat sebarang pemilihan kursus yang ditawarkan oleh mana-mana IPT awam atau swasta, para pelajar perlu mendapat beberapa maklumat kerjaya yang terkini berdasarkan laporan kajian dari Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Malaysia Critical Occupational List (MyCol) 2022/2023 melaporkan, hasil kajiannya yang melibatkan 500 firma di Malaysia telah mendapati 713 pekerjaan kritikal yang merentas tiga sektor sangat diperlukan iaitu aeroangkasa, pembinaan dan pembuatan (pemprosesan makanan).
Ketiga-tiga sektor ini memerlukan pekerja dalam kalangan kumpulan profesional untuk dipenuhi.
Selain itu, beberapa bidang pekerjaan yang mudah menembusi peluang pekerjaan adalah pemasaran dan jualan; pentadbiran dan pengurusan sumber manusia; perakaunan dan kewangan; teknologi maklumat; perkhidmatan; kejuruteraan; pembuatan; pembinaan; hospitaliti, media dan komunikasi; perubatan dan sebagainya.
Ditambah pula dengan kemahiran teknologi digital, ia menjadi nilai tambah dalam era semasa.
Meneroka industri halal
Berdasarkan laporan MyCol 2022/2023, terdapat beberapa program yang sangat sesuai untuk memenuhi permintaan majikan dalam industri halal.
Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal misalnya menjadi buruan majikan dalam industri penyediaan pelbagai produk halal.
Bukan sekadar makanan, malah ia turut melibatkan perubatan, kesihatan, kosmetik dan prosedur penyediaan pelbagai tatacara kerja.
Apatah lagi dengan sokongan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan hub halal, bukan hanya di Rantau Asia malah seluruh dunia.
Malaysia kini menjadi peneraju hub halal di pasaran antarabangsa.
Kejayaan ini hasil sumbangan bersepadu dan berterusan melalui pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak tahun 1970-an.
Diperkasakan pula oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC) dengan sokongan daripada agensi lain termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Jabatan Veterinar dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Universiti Islam Selangor (UIS) sebelum ini dikenali sebagai KUIS turut menawarkan Sarjana Muda Pengurusan (Industri Halal) yang mula diperkenalkan sejak 2018.
Sebagai komitmen memastikan kelestarian ekosistem halal yang menyumbang kepada bakat dan profesional halal yang kompiten, program ini menjadi tumpuan pelajar untuk meneroka potensi besar pasaran kerjaya industri halal.
Bermula dengan kelompok pertama hanya empat orang bergraduan, melonjak kepada 90 orang kelompok kedua yang akan bergraduan tidak lama lagi.
Kini jumlah mahasiswa aktif lebih 300 orang sedang mengikuti pengajian yang interaktif di UIS.
Selain itu, turut menjadi tumpuan di universiti ini adalah program-program yang menggabungkan aspek kemahiran komunikasi, media dan kemahiran menggunakan peralatan studio misalnya bagi penerbitan Kamera Berbilang (MCP), Kamera Tungga (SCP) dan Konti Radio.
Program Matrikulasi Komunikasi, Diploma Komunikasi dan Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) di UIS telah melahirkan bakat-bakat baharu tenaga kerja di stesyen televisyen, radio dan surat khabar, selain kerjaya dalam perhubungan awam, produksi filem, usahawan media digital dan banyak lagi. Malah peningkatan kerjaya yang cepat hasil ketekunan, kesungguhan dan displin, menjadikan bidang ini sangat relevan buat anak-anak muda.
Selain itu, UIS turut menawarkan pelbagai bidang pendidikan yang digabung jalin dengan keperluan masa kini, misalnya Sarjana Muda Pendidikan dengan Multimedia, yang turut menjadi pilihan utama pelajar, memandangkan galakan dari kerajaan agar guru-guru turut menguasai teknologi bagi menarik minat anak-anak di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Di UIS juga, turut ditawarkan pelbagai program lain meliputi bidang Undang-Undang dan Syariah; Pengajian Islam; Pengurusan; Ekonomi dan Kewangan Islam; Sains Komputer dan Teknologi Maklumat. UIS juga turut menawarkan pengajian dari peringkat matrikulasi, diploma, sarjana muda, sarjana sehingga doktor falsafah.
Akhir sekali, diharapkan semua pelajar lepasan SPM menjadikan keputusan peperiksaan mereka sebagai satu inspirasi untuk menetapkan hala tuju terbaik dalam merancang masa hadapan.
Cemerlang atau tidak, kedua-duanya mempunyai nilainya yang tersendiri.
Kelemahan nilai di atas kertas mampu diubah dengan keyakinan dan azam terbaik.
Sehebat mana negara maju dengan semua teknologi digitalnya, aspek keselamatan canggih dan peralatan ketenteraan moden, tetap memerlukan para pekerja sokongan yang bertindak sebagai perantara lonjakan keuntungan, imej dan reputasi seluruh dunia.
Maklumat Penulis
1) Pensyarah, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor, Rahmahtunnisah Sailin.
2) Pensyarah, Program Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor, Salina Mohammed Rashid.