Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan ranking bagi mengukur prestasi antara sekolah berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, yang tular menerusi media sosial.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya sama sekali tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau pengesahan berkaitan ranking berkenaan.
"Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah mengeluarkan apa-apa secara rasmi berkaitan perkara itu (ranking)... apa yang diunjurkan melalui gred purata sekolah (GPS) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) itu adalah untuk sekolah, daerah dan negeri sendiri dan ia bukan untuk dipertandingkan.
"Ia adalah satu usaha untuk melihat perkara baharu yang perlu dilaksanakan kepada calon-calon SPM yang akan datang, jadi tidak timbul pasal ranking itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jerayawara Pendidikan MADANI dan Majlis Jalinan Mesra Bersama Menteri Pendidikan di Alor Setar, Kedah pada Sabtu.
Beliau berkata, ranking berkenaan bukan menjadi kayu ukur kepada petunjuk prestasi utama (KPI) sebaliknya ia merupakan sokongan kepada peningkatan dan kemajuan sesebuah sekolah.
"Jadi, saya harap ibu bapa jangan terpengaruh dengan ranking itu...apa yang penting adalah untuk melihat dan memberi fokus kepada anak-anak sendiri selain mencari pendekatan untuk memperkukuh sistem pembelajaran anak-anak," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai isu pelajar lepasan SPM yang tidak menyambung pengajian di peringkat tinggi, Fadhlina berkata, KPM sentiasa mengambil peduli, memberi bimbingan dan memantau melalui Sistem Pengesanan Murid Lepasan SPM.
"Kalau dilihat, KPM paling konsisten menjaga potensi, minat dan hala tuju pelajar ini sebab itu kita ada memberi bimbingan, kerjaya dan kaunseling di peringkat sekolah sejak awal lagi. Pelbagai ujian berkaitan kemahiran juga telah dilaksanakan bagi melihat minat dan hala tuju mereka.
"Selain itu, banyak festival kerjaya dan ceramah motivasi daripada alumni sekolah diadakan bagi memupuk minat pelajar ini untuk menyambung pengajian selepas tamat SPM. Cumanya, ada yang tidak menyambung pengajian atas pilihan sendiri atau keluarga...jadi kita perlu mengambil kira faktor luaran lain yang menyebabkan mereka tidak menyambung pengajian,” katanya.-Bernama