Apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 510 di Serian, Sarawak pada 4 September lalu, mesejnya jelas: udara berada pada tahap berbahaya.
Darurat diisytiharkan. Sekolah ditutup. Aktiviti luar dihentikan. Hampir 200,000 murid terkesan apabila 647 sekolah di Sarawak ditutup sementara akibat jerebu.
Malaysia bukan baharu berhadapan dengan situasi sebegini. Kita sudah mempunyai sistem pemantauan kualiti udara, kategori IPU, portal maklumat, kenyataan agensi kerajaan dan nasihat kesihatan.
Namun setiap kali jerebu kembali, satu persoalan komunikasi wajar ditanya: selepas rakyat menerima amaran, adakah mereka benar-benar tahu apa yang perlu dilakukan?
Di sinilah terdapat perbezaan antara menyampaikan maklumat dengan menghasilkan tindakan.
Mengetahui bahawa IPU sudah berada pada tahap tidak sihat belum tentu membantu seseorang membuat keputusan dalam kehidupan sebenar. Adakah anak masih boleh berjalan ke sekolah? Perlukah aktiviti sukan dibatalkan? Bagaimana dengan pekerja yang menghabiskan sebahagian besar hari di luar? Apakah yang perlu dilakukan oleh warga emas atau individu yang mempunyai masalah kesihatan?
Bacaan IPU yang sama boleh membawa implikasi yang berbeza kepada orang yang berbeza.
Sebab itu komunikasi risiko tidak seharusnya berakhir dengan satu nombor, warna atau peringatan supaya masyarakat 'berhati-hati'.
Komunikasi risiko yang berkesan tidak berakhir apabila mesej dihantar. Ia berakhir apabila penerima tahu tindakan seterusnya.
Ini bukan sekadar persoalan teori komunikasi.
Kajian terdahulu di Malaysia menunjukkan tahap kesedaran terhadap bahaya jerebu boleh menjadi tinggi tanpa semestinya menghasilkan tahap amalan perlindungan yang sama.
Satu kajian melibatkan 387 responden di Lembah Klang mendapati lebih 90 peratus responden sedar tentang bahaya jerebu. Namun faktor seperti pendidikan dan pendapatan isi rumah turut mempengaruhi pengetahuan, kesedaran dan amalan perlindungan.
Kajian lain melibatkan 305 responden di Semenanjung Malaysia turut menunjukkan jurang antara mengetahui dengan bertindak. Dalam sampel tersebut, hanya sebahagian kecil kumpulan orang awam memeriksa indeks pencemaran setiap hari. Mereka yang mempunyai pengetahuan lebih baik pula lebih cenderung mengambil langkah perlindungan seperti membatalkan latihan luar ketika keadaan udara tidak sesuai.
Kajian tersebut bukan gambaran mutakhir seluruh penduduk Malaysia. Namun dapatan itu memberikan satu pelajaran yang masih relevan: maklumat yang tersedia tidak secara automatik menjadi tindakan.
Justeru, komunikasi jerebu perlu bergerak daripada model amaran kepada model amaran dan tindakan.
Caranya boleh bermula dengan perkara yang sangat praktikal.
Setiap kemas kini utama IPU boleh dipasangkan terus dengan tiga maklumat: apakah tahap risikonya, siapa yang perlu mengambil perhatian khusus dan apakah tindakan yang perlu dilakukan sekarang.
Jika tahap berubah, tindakan juga perlu berubah dengan jelas.
Kementerian Pendidikan Malaysia memberikan contoh bagaimana ambang tindakan boleh berfungsi. Apabila IPU melebihi 100, aktiviti luar institusi pendidikan dihentikan. Apabila melebihi 200, sekolah di kawasan terlibat ditutup.
Prinsip yang sama boleh diterjemahkan dengan lebih meluas kepada komunikasi awam.
Daripada sekadar 'kurangkan aktiviti luar', terangkan siapa yang perlu mengurangkannya, dalam keadaan bagaimana dan apakah alternatif yang boleh dilakukan.
Daripada 'golongan berisiko perlu berhati-hati', nyatakan siapa yang termasuk dalam kumpulan tersebut, gejala apa yang perlu diperhatikan dan pada keadaan bagaimana mereka perlu mendapatkan rawatan.
Daripada hanya 'pantau IPU', jelaskan keputusan apa yang perlu dipertimbangkan apabila bacaan berubah daripada sederhana kepada tidak sihat.
Ini penting kerana tidak semua orang mempunyai keupayaan yang sama untuk mematuhi sesuatu nasihat. Arahan supaya berada di dalam bangunan lebih mudah bagi pekerja pejabat berbanding penghantar makanan, penjaja atau pekerja tapak pembinaan.
Begitu juga bagi sesetengah orang kurang upaya yang bergantung kepada pengangkutan awam atau perlu keluar untuk rawatan dan urusan sokongan. Nasihat yang kelihatan mudah mungkin memerlukan perancangan, bantuan atau alternatif yang tidak diperlukan oleh orang lain.
Di sinilah komunikasi inklusif menjadi sebahagian daripada pengurusan risiko, bukan sekadar persoalan memilih perkataan yang baik.
Sebelum sesuatu nasihat dikeluarkan, satu soalan mudah perlu ditanya: bolehkah orang yang menerima arahan ini benar-benar melaksanakannya?
Jika jawapannya tidak untuk sebahagian masyarakat, komunikasi perlu menyediakan pilihan yang lebih praktikal atau sekurang-kurangnya menerangkan bagaimana risiko boleh dikurangkan apabila pendedahan tidak dapat dielakkan.
Saluran penyampaian juga penting. Tidak semua warga emas memeriksa aplikasi telefon. Tidak semua pengguna mengikuti media sosial agensi kerajaan. Maklumat yang terlalu bergantung kepada warna pula boleh menjadi masalah kepada sesetengah pengguna.
Maklumat kritikal perlu bergerak melalui pelbagai saluran dan dalam format yang boleh diakses melaui media penyiaran, sekolah, klinik, pihak berkuasa tempatan, komuniti, aplikasi dan platform digital.
Tetapi ada satu lagi langkah yang sering kurang diberikan perhatian: selepas komunikasi dilakukan, ukur sama ada ia berkesan.
Kejayaan komunikasi jerebu tidak seharusnya hanya dilihat daripada berapa banyak kenyataan dikeluarkan, berapa ramai melihat hantaran media sosial atau berapa banyak kunjungan diterima portal.
Selepas episod jerebu, agensi berkaitan boleh menjalankan audit komunikasi awam yang ringkas.
Tanyakan kepada masyarakat: ketika IPU mencecah tahap tidak sihat, apakah tindakan yang anda ambil? Adakah anda tahu siapa yang dianggap berisiko? Adakah arahan yang diberikan mudah dilaksanakan? Dari saluran mana anda mendapat maklumat? Apakah yang masih mengelirukan?
Dapatan itu boleh dianalisis mengikut umur, lokasi, jenis pekerjaan, status ketidakupayaan dan faktor lain yang mempengaruhi bagaimana seseorang menerima dan melaksanakan sesuatu arahan.
Jika ramai masih melakukan tindakan yang tidak sesuai selepas amaran dikeluarkan, kita mempunyai petunjuk bahawa mesej perlu diperbaiki.
Jika sesuatu arahan diketahui tetapi sukar dilaksanakan, masalahnya mungkin bukan pada kesedaran tetapi pada reka bentuk tindakan yang dicadangkan.
Inilah ukuran yang lebih bermakna bagi komunikasi risiko.
Malaysia sudah mempunyai data kualiti udara dan mekanisme untuk mengeluarkan amaran. Cabaran seterusnya ialah memastikan setiap amaran membantu rakyat membuat keputusan yang betul pada waktu yang tepat.
Kerana dalam sesuatu krisis, terdapat tiga perkara yang berbeza: mesej dihantar, mesej difahami dan tindakan diambil.
Kita tidak seharusnya menganggap ketiga-tiganya berlaku serentak.
IPU memberitahu rakyat tahap pencemaran udara. Komunikasi risiko yang berkesan mesti membantu mereka menentukan apa yang perlu dilakukan selepas mengetahuinya.
Maklumat penulis:
Pensyarah Kanan, Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr Mastura Mahamed
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my