Hampir dua minggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 telah diumumkan.
Terbayang-bayang lagi dalam ingatan suasana di dewan sekolah yang sesekali terdengar hingar-bingar jeritan teruja disebabkan terlalu gembira dengan keputusan yang diperoleh.
Bagaimanapun, ada juga yang sugul, sedih dan kecewa sekali gus menangis disebabkan keputusan yang kurang cemerlang, sederhana atau mungkin terlalu mengecewakan.
Apa pun keputusan yang diperoleh, ia bukanlah penamat sebaliknya permulaan untuk sebuah kehidupan.
Selepas ini pelajar lepasan SPM bolehlah merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti memilih untuk ke kolej, universiti atau sambung sahaja ke Tingkatan Enam.
Fasa peralihan
Impian untuk menggapai cita-cita yang telah tertanam dalam sanubari turut disuburkan dengan pelbagai inspirasi kejayaan ibu bapa atau ahli keluarga, malah orang lain yang menjadi suri teladan.
Minat yang turut disertai dorongan kuat dan restu ibu bapa pasti lebih mudah urusannya.
Tidak dinafikan ibu bapa sebagai orang tua dan penjaga turut memiliki impian iaitu untuk melihat anaknya menjadi seperti yang mereka hajatkan.
Ibu bapanya doktor, pasti ingin anak mengikut jejak langkahnya menjadi doktor suatu hari nanti. Biasanya begitulah. Orang kata takkan tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi.
Tetapi tahukah anda ramai penuntut di kolej mahupun universiti kini mengalami tekanan disebabkan menuruti impian sendiri dan juga impian ibu bapa.
Impian sendiri atau impian ibu bapa?
Saya sendiri berhadapan dengan konflik ini apabila ada mahasiswa yang berjumpa dengan saya mengakui mereka tertekan dengan situasi tersepit berkenaan.
Mereka menjadi keliru apabila impian ibu bapa tidak sama dengan impian diri sendiri.
Namun ada yang positif dan mengambil keputusan untuk mengikuti sahaja kemahuan ibu bapa. Orang kata ibu bapa lebih mengetahui yang terbaik buat anaknya. Restu ibu bapa juga penting dalam setiap perkara kerana doa mereka tiada hijabnya di sisi ALLAH SWT.
"Tiga doa yang mustajab, tanpa syak lagi; doa orang dizalimi, doa orang musafir dan doa ibu bapa kepada anaknya.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).
Ketika menggalas tugas sebagai Dekan sebelum ini, ada seorang mahasiswa memberitahu mengenai ibu bapanya yang ingin melihat dia menjadi ustaz dan memaksanya menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Islam.
Namun impiannya sendiri adalah ingin menjadi seorang penyampai radio.
Alhamdulillah, mahasiswa ini seorang anak yang baik dan tidak sanggup menghampakan harapan orang tuanya lalu menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Islam.
Kebetulan pula bidang pengajian yang ditawarkan merupakan pengajian berkembar iaitu Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah dengan Komunikasi Penyiaran.
Pada akhir tahun pengajian, mahasiswa ini dikehendaki mengambil subjek komunikasi dan didedahkan dengan pengalaman mengendalikan siaran di konti radio dan televisyen.
Kelompok mahasiswa Al-Quran dan As-Sunnah termasuk dirinya mesti memiliki ilmu yang tinggi dan berguna untuk isi kandungan penyampaian ditambah pula dengan pendedahan mengendalikan rancangan secara langsung agar menjadikan mereka lebih berdaya saing.
Alhamdulillah selepas tamat pengajian, penuntut itu tadi telah berkhidmat sebagai penyampai radio atau DJ di salah sebuah radio nasional tempatan.
Kandungan yang disampaikan olehnya didapati kerap diterapkan dengan nasihat dan ayat-ayat al-Quran serta sunnah Nabi Muhammad SAW.
Sering juga terlihat dia bersiaran di televisyen. Syukur alhamdulillah, bertambah berjaya nampaknya mahasisiwa ini, semuanya berkat usaha dan doa ibu bapa dengan izinNya juga.
Selain itu, ada juga penuntut yang berjumpa memaklumkan ingin berhenti pengajian disebabkan tidak mampu mengikuti kursus yang ditetapkan sehingga sering gagal dan akhirnya memperoleh Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) yang rendah.
Paksaan daripada ibu bapa memilih bidang pengajian yang tidak digemari oleh anak antara sebab keadaan sebegini berlaku.
Sebenarnya, sebagai ibu bapa, kita perlu berbincang dengan anak-anak tentang impian sejak mereka kecil lagi.
Impian kita tidak semestinya sama dengan impian mereka.
Jasad yang hendak belajar itu adalah anak kita.
Kalau dipaksa, ditakuti lain pula jadinya.
Betapa ramai penuntut di IPT kini mengalami tekanan perasaan sehingga kemurungan malah ada yang mengambil tindakan berani mencederakan diri sendiri akibat terlalu tertekan.
Permulaan kehidupan
SPM adalah permulaan perjalanan sebuah kehidupan.
Sila berlapang dada menerima apa sahaja keputusan yang diperoleh dan buatlah keputusan terbaik sama ada ingin sambung belajar atau sebaliknya.
Jika ingin sambung belajar, pilih bidang pengajian yang betul yang membawa anda menuju kepada impian selama ini.
Bagaimanapun bidang pengajian yang ditawarkan mungkin tidak menepati pilihan sendiri namun kita kena ingat sesuatu yang ALLAH tentukan buat hambaNya itu adalah yang terbaik walaupun merasakan ia tidak baik untuk kita.
Firman ALLAH yang bermaksud:
"Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. ALLAH Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216).
Segala yang terjadi kepada kita dalam kehidupan ini adalah ketentuan yang telah ditakdirkan cukup baik untuk setiap hambaNya.
Sesungguhnya ALLAH yang Maha Bijaksana lebih mengetahui sesuatu yang terbaik dan sesuai untuk setiap manusia.
Oleh itu, wahai anak-anak muda sekalian, buatlah pilihan dengan bijak dan semoga segala usaha anda dipermudahkan.
Selamat Maju Jaya.
Maklumat Penulis
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor, Dr Norziah Othman.