Intern: Ramai berpendapat perlu diberi elaun sekurangnya tampung perbelanjaan harian

Iklan
"Dengan perlu mengambil kira pengangkutan, duit bil telefon lebih-lebih lagi zaman serba memerlukan duit." Kredit foto: Freepik

Latihan industri atau intern adalah salah satu proses pembelajaran yang wajib dilalui mahasiswa universiti sebagai persediaan sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan.

Iklan
Iklan

Ia bertujuan memberi pendedahan awal kepada mereka struktur pekerjaan sebenar yang perlu ditempuh selepas tamat pengajian kelak.

Namun sejak akhir-akhir ini timbul pelbagai isu melibatkan pelajar intern dan yang paling hangat ketika ini ialah mereka dikatakan tidak menerima bayaran atau hanya mendapat elaun yang sedikit sepanjang tempoh latihan industri berlangsung.

Iklan

Situasi ini menerima komentar hebat di media-media sosial antaranya Twitter apabila sesetengah daripada warga maya berpendapat pelajar intern perlu dibayar malah ada juga yang menganggap sebaliknya.

Tertarik untuk mendapatkan lebih banyak pendapat orang ramai tentang isu ini, Sinar Bestari telah mengadakan satu undian di laman Facebook rasmi dengan menanyakan berapakah jumlah elaun yang patut diberikan kepada pelajar intern.

Iklan

Tiga pilihan jumlah elaun telah pun diberikan iaitu RM500, RM1,000 dan gaji seperti staf biasa.

Hantaran yang dimuat naik pada Isnin telah mendapat 121 undian di mana 65 peratus mengundi pelajar intern perlu mendapat elaun sebanyak RM1,000, manakala 28 peratus pula bersetuju mereka perlu dibayar sebanyak RM500.

Gambar hiasan.Kredit foto: Freepik

Sinar Bestari juga sempat meninjau ke ruangan komen bagi melihat sendiri pendapat warga maya tentang isu hangat ini.

Antara komen yang sempat dipetik adalah;

Zuraida Soleh: 19 tahun dahulu saya intern dan hanya menerima elaun RM300 sahaja sebulan selain turut dapat kupon makan selama tempoh itu. Perlu pandai berjimat, pergi kerja pun naik motosikal.

Sakinah Zulkipli: RM1,000 pun dah okay sebenarnya sebab rutin pelajar intern ini sudah seperti pekerja biasa. Dengan perlu mengambil kira pengangkutan, duit bil telefon lebih-lebih lagi zaman serba memerlukan duit.

Siti Sarah Abdullah: RM200 pun dah okay sebenarnya dan perlu tambah makan minum percuma sekali.

Sementara itu, memetik hantaran daripada Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Twitter miliknya mengatakan, pelajar intern tidak meminta bayaran gaji sama seperti staf biasa.

"Pelajar intern ini hanya meminta bayaran elaun bagi menampung perbelanjaan pengangkutan, penginapan dan makanan mereka sepanjang tempoh latihan industri.

"Mereka juga perlu bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dan ada yang perlu menggadaikan masa sehingga lewat malam dan hujung minggu.

"Bagaimana pula dengan nasib mereka yang datang daripada keluarga susah?” katanya seperti dipetik daripada hantaran berkenaan.

Kami di Sinar Bestari merasakan pihak bertanggungjawab khususnya kerajaan dapat meneliti dengan lebih mendalam bagi memastikan hak para pelajar intern yang terlibat terbela.

Ini kerana pelajar-pelajar intern sedikit sebanyak akan membantu dalam memajukan negara suatu hari nanti.

Tetapi sekiranya sistem latihan industri dimansuhkan, adakah pelajar-pelajar itu mampu dan bersedia berdepan dengan dunia pekerjaan sebenar?