Kadar sewa rumah yang tinggi memberi kesan dan membebankan golongan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) lebih-lebih lagi mereka daripada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40).
Ini antara isu yang sering menjadi kebimbangan penuntut IPT untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi dalam menginginkan persekitaran penginapan yang selesa dan sesuai.
Melihat perkara ini, kerajaan Sabah dicadangkan supaya membina rumah transit untuk pelajar-pelajar seperti Program Perumahan Rakyat (PPR).
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, rumah itu dibina bagi mengurangkan beban pelajar serta ibu bapa yang terpaksa menanggung kos rumah sewa yang semakin meningkat pada masa kini.
Tambahnya, mereka dibenarkan tinggal di rumah transit itu untuk dua atau tiga tahun mengikut tempoh pengajian masing-masing.
"Selepas tamat pengajian serahkan kunci dan kosongkan rumah itu untuk beri peluang kepada pelajar lain.
"Saya rasa dengan cara ini tiada lagi isu minta sambung atau merayu untuk tinggal di situ sepertimana yang berlaku kepada penyewa PPR,” katanya pada program Dialog Siswa yang diadakan di Dewan Al Bukhari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu, Sabah.
Program tersebut disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada pukul 8.30 malam pada Khamis.
Selain Masiung, Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya turut dijemput sebagai ahli panel dan ia dikendalikan oleh anak tempatan, Safwan Sawi.
Ujar Masiung, baru-baru ini timbul isu rumah PPR yang dimiliki oleh LPP yang disewakan kepada rakyat yang berpendapatan RM750 hingga RM3,000.
"Kami telah beri peringatan kepada penyewa tempoh had maksimum iaitu 10 tahun telah tamat dan minta kerjasama untuk keluar supaya dapat beri peluang orang lain.
"Tapi malangnya, apabila bagi peringatan ia jadi isu utama pula di Sabah ini seolah-olah kita bertindak kejam,” ujarnya.
Beliau juga merayu kepada kerajaan Sabah melalui Ketua Menteri untuk sampaikan hasrat tersebut di peringkat kabinet.