eBeliaRahmah: Pelajar IPG luah rasa kesal tidak layak terima insentif kerajaan

Iklan
Gambar hiasan.

Golongan belia yang berumur 18 hingga 20 tahun dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa akan menerima kredit RM200 bagi program eBeliaRahmah bermula 26 Jun 2023.

Memetik kenyataan Kementerian Kewangan (MoF), tempoh pendaftaran dan tuntutan eBelia itu adalah sehingga 22 Ogos depan dan mereka yang layak boleh mendaftar melalui satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet.

Iklan
Iklan

Rata-rata golongan muda khususnya penuntut universiti amat mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan bagi membantu mengurangkan beban memandangkan jumlah kali ini juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu RM150.

Untuk itu, Sinar Bestari sempat meninjau aplikasi Twitter bagi melihat pendapat orang ramai tentang pemberian eBelia dan agak terkejut apabila mendapati bahawa pelajar-pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak layak menerima insentif tersebut.

Iklan

Memetik ciapan Soundriya Samy Nathan, dia meminta penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengapa pelajar IPG tidak layak menerima eBelia.

"Kehadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kami sebagai pelajar IPG ingin tahu mengapa kami tidak layak untuk menerima eBeliaRahmah yang sepatutnya diberikan kepada golongan belia dan pelajar IPT sepenuh masa.

Iklan

"Adakah kami tidak dinilai sebagai seorang pelajar,” katanya seperti dipetik dalam satu ciapan.

Bahkan, isu ini juga turut mendapat perhatian Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut memuat naik satu ciapan di Twitter miliknya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pelajar IPG diketepikan bagi menerima insentif selepas setengah tahun menunggu.

"Alhamdulillah, lepas lebih setengah tahun menunggu, akhirnya eBelia dikreditkan.

"Tetapi kenapa pelajar IPG ditinggalkan? Mereka juga pelajar sepenuh masa dan bakal guru.

"Pelajar-pelajar IPT lain semua dapat tidak kira kaya atau miskin dan tidak kira pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS),” ujarnya.

Sehingga kini tiada maklum balas daripada Perdana Menteri dan Sinar Bestari berharap agar ia dapat diselesaikan dan eBeliaRahmah ini dapat diberi sama rata kepada mereka yang sememangnya layak.