Seramai 53 mahasiswa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Dungun telah mengikuti program akademik berbentuk perkhemahan pada 15 hingga 16 Jun lalu di Kem Gemia, UiTM berkenaan.
Program akademik dikenali Eagle Nest U-Camp itu disertai penuntut setiap semester, pelbagai program dari empat fakulti iaitu Fakulti Pengurusan dan Perniagaan; Fakulti Perakaunan; Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan serta Kolej Kejuruteraan Elektrik.
Dianjurkan mahasiswa semester akhir, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (BA118), (Educated Eagles), ia turut disertai empat pensyarah iaitu Khalid Amin Mat, Nurafida Abdul Talib, Nasiha Abdullah dan Nur Shafini Mohd Said.
Menurut Penasihat Eagle Nest U-Camp, Noor Hafiza Mohammed, program tersebut dianjurkan sebagai memenuhi keperluan kursus Organizing Events (OBM310) untuk mahasiswa semester akhir (Educated Eagles) di universiti terbabit.
"Selain memenuhi keperluan kursus, penganjuran program ini juga bertujuan memupuk semangat jati diri dan keyakinan penuntut dalam melakukan aktviti luar.
"Dalam masa yang sama, ia juga dapat mengeratkan silaturahim antara semua peserta sekali gus membantu mereka mempelajari selok belok menganjurkan sesebuah acara,” ujarnya selaku pensyarah kursus OBM310 di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), UiTM Cawangan Terengganu.
Berkongsi dengan Sinar Bestari, Noor Hafiza berkata, sepanjang dua hari program tersebut berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti menarik yang telah disediakan.
Antaranya, Escape and Evacution (E&E), membuat pelampung secara semula jadi dan Night Walk yang dikendalikan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) bersama 20 fasilitator dari Educated Eagles.
Selain itu, aktiviti berupa ceramah dan bengkel akademik turut diadakan.
"Ceramah bertajuk Managing Alpha Stress disampaikan pensyarah kanan UiTM Cawangan Terengganu, Kampus Dungun iaitu Amirudin Mohd Zani.
"Manakala bengkel akademik English is Fantastic telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Najlaa' Nasuha Mohd Radin,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Terengganu, Kampus Dungun, Dr Nik Fakrulhazri Nik Hassan memuji penganjuran Eagle Nest U-Camp yang dilihat berlangsung dengan baik walaupun penganjur berhadapan kekangan kewangan.
"Usaha mereka wajar dipuji biar pun banyak dugaan perlu dilalui terutamanya berkaitan peruntukan perbelanjaan.
"Insya-ALLAH, jika semua bekerjasama dan bersama-sama mencari solusi, program akan berlangsung dengan baik.
"Besar harapan saya agar program seperti ini dapat diadakan lagi pada semester akan datang kerana ia begitu manfaat kepada mahasiswa yang menyertainya,” ujar Nik Fakrulhazri selepas merasmikan majlis penutup Eagle Nest U-Camp.
Turut hadir, Ketua Program Diploma FPP, Laila Farisyah Sahrulpadillah; Koordinator Program Diploma FPP, Zuraida Mohamad serta empat pensyarah iaitu Profesor Madya Dr Ahmad Suffian Mohd Zahari; Wan Zuhaila Wan Ab Rahman; Nazlin Emieza Ngah; Nur Dalila Adenan dan Kapten Zuraini Jusoh wakil PALAPES.