"Kemasyhuran sesebuah negara bergantung kepada manifestasi seni dan budayanya kerana ia mempunyai peranan yang cukup besar dalam pembangunan sesebuah bangsa serta negara yang beridentiti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NU Ideaktiv, Syamil Fahim.
Justeru, tuturnya lagi, usaha pemuliharaannya perlu diterapkan dengan mengambil kira zaman kini agar dapat diterima oleh semua masyarakat.
Untuk itu, Syamil menjelaskan, melestarikan seni tradisi dalam masyarakat yang serba moden dewasa kini perlulah diinovasikan cara mempromosikannya agar selari dengan kaedah penyampaian di mata generasi zaman sekarang.
Sehubungan itu, NU Ideaktiv dan Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Fakulti Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi MARA (UiTM) bekerjasama menganjurkan Konsert Leluri Gemalai 2023 ‘Bunga Tanjung’ yang akan berlangsung pada Jumaat dan Sabtu ini.
Menerusi konsert tersebut, beberapa tarian tradisional Melayu seperti Inang, Zapin, Joget, Caklempong, Gamelan dan Canggung bakal dipersembahkan kepada orang ramai.
Segmen lagu pula menampilkan lagu-lagu seperti Bunga Tanjung (Asli), Zapin Panglima (Zapin Dayung), Inang Paku Lanang (Inang), Umpan Jinak Di Air Tenang (Joget), Ala Canggung (Canggung), Merbau Caklempong, Perang (Gamelan), Rajuk Rindu (Kontemporari Zapin) dan Ghazal Seri Mersing.
Sementara itu, Ketua Pengajian Seni Liberal UiTM, Dr Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin berkata, konsert tersebut merupakan manifestasi terhadap pembelajaran selama empat semester pelajar dalam jurusan berkenaan.
"Ini membuktikan industri kita tidak ketandusan bakat terutamanya dalam bidang pengurusan acara dan pengurusan seni,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Ketua Pengajian Konservatori Muzik UiTM, Dr Juriani Jamaludin pula berpendapat, acara berkenaan mampu memperkasa dan menyerlahkan bakat para pelajar KPSK kerana hasil gabungan ketiga-tiga pengajian ini merupakan platform awal mempersiapkan pelajar menuju ke alam pekerjaan.
"Projek sebegini juga menyediakan satu platform untuk pelajar terus bereksplorasi dan bereksperimentasi bagi memperlihatkan kesungguhan dan kerja keras pelajar sehingga membuahkan hasil,” ulasnya.
Bagi Ketua Pengajian Seni Persembahan UiTM, Dr Norzizi Zulkifli menyatakan, konsert bersifat tradisional ini merupakan satu produk yang memerlukan usaha sinergi semua pihak.
Beliau menyifatkan usaha ini haruslah berterusan dengan mengaplikasikan pelbagai strategi untuk diuar-uarkan kepada generasi hari ini agar identiti atau jati diri bangsa dapat dikekalkan.
"Apa yang penting adalah sikap dan usaha untuk meneruskan persembahan tradisional agar kelestariannya dapat dipertahankan,” jelasnya