Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM13 juta bagi membiayai pendidikan pelajar asnaf cemerlang di peringkat diploma melalui Skim Bantuan Penyelesaian Pembiayaan Pendidikan yang dilancarkan pada 18 Julai lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, menerusi skim itu MAIWP menawarkan bantuan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf menetap di tiga Wilayah Persekutuan dan membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di peringkat diploma serta mendapat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.50 ke atas.
"Skim ini adalah kerjasama strategik antara MAIWP dan PTPTN. Bantuan ini akan disalurkan kepada pelajar-pelajar asnaf yang cemerlang di peringkat diploma dalam bidang perubatan dan bukan perubatan bagi menyelesaikan pinjaman PTPTN,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Skim Bantuan Penyelesaian Pendidikan dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAIWP dan PTPTN di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Kuala Lumpur.
Turut hadir, Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Ahmad Dasuki
Abdul Majid dan Naib Canselor UCMI Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman.
Tambah Mohd Na’im, inisiatif tersebut diharap dapat mendorong pelajar asnaf fakir, miskin dan mualaf untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapat kecemerlangan dalam pengajian.
Sementara itu, katanya MAIWP menyediakan 30 skim bantuan zakat meliputi aspek kebajikan, pendidikan, perubatan, tempat tinggal, keusahawanan dan pembangunan ummah kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Jelas beliau, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini, sebanyak RM420 juta dana zakat telah diagihkan kepada penerima yang layak menerima bantuan.
"Zakat ini diagihkan kepada golongan asnaf dengan penuh perancangan rapi dan pelbagai inisiatif.
"Kesemua agihan ini menjadi penyumbang kepada kekuatan dan keutuhan dana zakat yang dimiliki,” tuturnya.
Ditemui selepas majlis tersebut, Mohd Na’im menjelaskan, beliau sentiasa mengajak semua agensi di bawah kementeriannya untuk mencari dan membuka ruang kepada syarikat korporat dan badan bukan kerajaan untuk menjalin kolaborasi strategik dalam usaha meringankan beban rakyat dan membantu meningkatkan sosioekonomi termasuk melalui pendidikan.
"Saya bersama Kerajaan Perpaduan percaya tanggungjawab membantu masyarakat adalah tanggungjawab bersama dan penglibatan pelbagai pihak akan memberi
impak lebih besar kepada masyarakat,” katanya.