Seramai 10,000 daripada 30,000 calon seluruh negara yang tercicir atau tidak hadir menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 berjaya mendaftar untuk menjalani peperiksaan tersebut secara ulangan.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pihaknya telah melakukan intervensi dan mengenal pasti masalah yang dihadapi calon sehingga menyebabkan mereka gagal mengikuti SPM 2022 yang berlangsung Februari lalu.
"Kita telah melakukan intervensi ke atas 30,000 calon ini, ke mana mereka, kenapa tidak hadir, alasan dan sebagainya.
"Alhamdulillah, daripada jumlah tersebut, 10,000 telah mendaftar menerusi program lanjutan tarikh pendaftaran,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa Program YES! Rock The School Edisi Mega Kedah 2023 di Aimst University, Sungai Petani, Kedah pada Ahad.
Program anjuran Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Tambah beliau, pihaknya kini sedang mengenal pasti 20,000 calon lagi yang masih belum mendaftar untuk peperiksaan tersebut.
"Ada beberapa isu yang menyebabkan calon gagal hadir...ada isu keluarga, isu pekerjaan, keluarga B40 dan sakit yang sedang diberi perhatian.
"Namun, kita mahu ucap tahniah dan rakam penghargaan terima kasih kepada calon yang telah daftar kerana inilah komitmen kita di samping meningkatkan nilai kemanusiaan melalui peluang melanjutkan pelajaran,” jelasnya.
Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang serius terhadap laporan hampir 30,000 calon tidak menduduki SPM.
Susulan itu, Perdana Menteri mengarahkan Fadhlina meneliti secara terperinci isu tersebut agar tidak berulang pada tahun-tahun akan datang.