Pelajar Permatang Pauh raih kejayaan antarabangsa dengan bimbingan program SEDIA

Iklan
Kehadiran Perdana Menteri menambah seri acara apabila beliau meluangkan masa menyantuni delegasi pelajar dan pembimbing.

Usaha memperkasa bakat inovasi pelajar di peringkat akar umbi diterjemahkan melalui Program Inovasi Sentuhan Daya Cipta MADANI (SEDIA), yang membimbing 14 pelajar Tingkatan Dua dan Tiga dari 11 sekolah di Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Menerusi bimbingan itu, mereka telah mencatat kejayaan cemerlang dalam Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEx 2026) di Bangkok, Thailand, dengan meraih dua Anugerah Emas, satu perak, empat gangsa dan lima Anugerah Khas, sekali gus membuktikan potensi pelajar tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.

Iklan
Iklan

Justeru, delegasi ini diraikan kejayaan mereka dalam Karnival Kebudayaan MADANI yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir pada Sabtu.

Lebih meriah lagi, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menambah seri acara apabila beliau meluangkan masa menyantuni delegasi pelajar dan pembimbing.

Iklan

Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan penghargaan terhadap usaha dan pencapaian mereka, malah menjadi inspirasi kepada seluruh komuniti sekolah untuk terus berinovasi dan cemerlang.

Iklan

Untuk makluman, program SEDIA dilaksanakan oleh lapan pensyarah Kumpulan Penyelidikan Human Capital, Innovation & Social Engagement (HCISE), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang yang diketuai Ts Dr Adi Izhar Che Ani.

Ia berlangsung secara berfasa selama enam bulan melibatkan bimbingan pembangunan idea, penyelidikan inovasi dan persediaan pertandingan.

Pelaksanaannya turut melibatkan kerjasama pensyarah universiti, agensi kerajaan dan rakan industri bagi menyediakan ekosistem sokongan yang menyeluruh kepada pelajar sekolah sebelum menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria berkata, pencapaian pelajar di peringkat antarabangsa membuktikan keberkesanan pendekatan pembangunan modal insan yang menekankan inovasi, pemikiran kritikal dan pendedahan awal selaras dengan gagasan Malaysia Madani.

"Apabila pelajar diberi peluang, bimbingan dan keyakinan yang betul, mereka mampu bersaing dan menyerlah di peringkat antarabangsa walaupun datang daripada latar belakang sekolah biasa," katanya.

Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Profesor Datuk Ir Dr Ahmad Rashidy Razali pula berkata, penglibatan institusi pengajian tinggi dalam program komuniti berasaskan inovasi mampu mewujudkan kesinambungan pembangunan bakat ke peringkat yang lebih tinggi.

"Program seperti SEDIA membuka ruang kepada pelajar sekolah menengah untuk mengenali dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta inovasi lebih awal, sekali gus membantu mereka membuat perancangan pendidikan yang lebih jelas pada masa hadapan," katanya.

Pelaksanaan program ini menerima sokongan dana daripada Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang melalui Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (BPPBPP, ICU JPM) selain kerjasama strategik Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang serta rakan industri termasuk EMZI Holding Sdn Bhd.

Ia turut melibatkan pelajar pascasiswazah dan prasiswazah Kejuruteraan Kimia UiTM Cawangan Pulau Pinang sebagai mentor pelajar sepanjang proses pembangunan inovasi bersama pelajar-pelajar program SEDIA ini.

Diharapkan kejayaan berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif pembangunan bakat pelajar sekolah secara berstruktur dan berterusan, khususnya dalam bidang STEM, sekali gus menyokong aspirasi pembangunan negara berteraskan nilai Malaysia Madani.