38 generasi baharu Felda terima tajaan biasiswa, bakal pemimpin digital masa hadapan

Iklan
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (duduk, tengah) bergambar bersama barisan pengurusan, pelajar tajaan Felda dan ahli keluarga pelajar selepas Majlis Penyerahan Tajaan Program Global Digital Leadership (GDL) Pelajar Cemerlang Felda. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Riak wajah kegembiraan dan bangga terserlah dalam kalangan 38 pelajar yang terpilih menerima biasiswa bagi Program Global Digital Leadership (GDL) oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU), semalam.

Inisiatif pendidikan FELDA terhadap generasi baharu ini merupakan salah satu inisiatif FELDA dalam usaha memperkasa pelajar-pelajar cemerlang Felda untuk menguasai kemahiran dalam bidang kepimpinan digital global, dengan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang IT dan Teknologi di universiti tersebut.

Iklan
Iklan

Ia juga bertujuan melahirkan generasi baharu Felda yang memiliki pengetahuan tinggi dan mahir dalam bidang digital yang semakin penting dalam era ini.

Salah seorang penerima biasiswa, Sudhaarshan Nair A/L Gopalan yang merupakan cucu peneroka Felda Palong 5, Negeri Sembilan berkata, dia berasa gembira dan bersyukur kerana menjadi antara pelajar yang dipilih.

Iklan

Jelasnya, melalui biasiswa tersebut, beliau dapat mengembangkan kemahiran yang ada pada dirinya dan berharap dapat menjadi lebih baik pada masa akan datang terutama dalam bidang transformasi digital.

Sudhaarshan Nair

Melalui program tersebut, Sudhaarshan berkata, ia dapat membantu dirinya mencapai bercita-cita iaitu untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat terkemuka negara.

Iklan

"Selepas tamat pengajian, saya akan pastikan saya menyumbang yang terbaik kepada Felda dan menjadi seorang ketua yang baik pada masa akan datang terutama dalam pendigitalan.

"Saya berharap supaya GDL ini akan berikan fokus kepada pendigitalan. Jadi saya boleh memberikan fokus yang lebih untuk ke arah menjadi pemimpin berkenaan digital,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Tajaan Program Digital Leadership (GDL) Pelajar Cemerlang Felda di Dewan Perdana Felda di sini.

Sementara itu, Nor Hidayah Muhamad, anak peneroka Felda Chalok Barat, Terengganu berkata, beliau mahu menjadi contoh terbaik dan pemangkin kepada anak Felda di kawasannya untuk lebih berjaya.

Beliau turut menanam azam untuk berbakti kepada Felda bagi meningkatkan kesejahteraan serta menjadikan Felda lebih maju di mata dunia.

"Saya gembira kerana terpilih memperoleh biasiswa ini dan saya boleh menjadi contoh kepada pelajar-pelajar iaitu anak-anak Felda di kampung saya,” ujarnya.

Nor Hidayah

Manakala menurut Faaiz Firdaus Badrul Izham dengan menyambung pengajian di APU yang mempunyai fasiliti berteknologi tinggi membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk belajar.

Oleh itu, katanya, beliau akan memberikan sepenuh tumpuan supaya dapat menabur bakti kepada negara pada masa akan datang.

"Saya rasa amat bertuah kerana dapat tawaran ini.

"Saya juga berharap akan bekerja dengan Felda satu hari nanti supaya dapat memajukan lagi teknologi sedia ada untuk digunakan dalam proses industri,” ujarnya.

Faaiz Firdaus

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, melalui inisiatif tersebut, ia membuktikan komitmen Felda dalam melahirkan generasi baharu yang profesional terutama berkaitan dunia digitalisasi.

Menurut beliau, ia penting bagi mentransformasikan negara kepada gaya hidup digital selaras dengan era globalisasi.

"Mengapa Felda tawarkan bidang GDL kerana gaya hidup digital ini memerlukan kepimpinan yang mempunyai misi, roadmap dan juga visi ke arah itu.

Ahmad Shabery

"Oleh itu, ia memerlukan penggerak dan pemimpin untuk menerajui negara ke arah pelaksanaan gaya dan amalan digital secara menyeluruh.

"Kita sudah ada telefon pintar, bandar pintar, kerajaan yang pintar dan sebagainya. Jadi, sekarang saya nak lihat Felda pintar akan dapat diwujudkan dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, usaha dilakukan itu akan melahirkan seramai 120 individu dalam tempoh tiga tahun yang dilihat mampu menjadi penggerak perintis kepada digitalisasi Felda.

Ahmad Shabery (tengah) ketika menyampaikan tajaan biasiswa kepada salah seorang penerima.

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, program GDL itu juga mengembangkan kemahiran kepimpinan dan keusahawanan pelajar melalui pelbagai aktiviti dan projek kolaboratif.

Menurutnya, ia adalah langkah positif dalam memperkukuhkan potensi dan daya saing warga belia tempatan terutamanya yang berasal dari komuniti Felda.

"Kesemua 38 mereka ini adalah yang terbaik daripada yang terbaik. Kita lebih mementingkan dan mahukan kualiti berbanding kuantiti,” katanya.

Mohd Banuri mengharapkan agar program tersebut mampu melahirkan generasi Felda yang terdidik dan kompeten dalam teknologi maklumat serta komunikasi untuk manfaat pembangunan negara.