‘Beauty with brain’, ayat yang sesuai diberikan kepada Nur Zatil Husna Zaharullai, graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor yang baru sahaja menerima Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hj Hashim dalam Majlis Konvokesyen UiTM kali ke-97.
Anugerah itu diberikan atas kecemerlangannya dalam bidang akademik jurusan Sarjana Muda Bahasa Gunaan Bahasa Arab Komunikasi Profesional.
Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan bukan sahaja buat Nur Zatil tetapi seluruh ahli keluarga setelah dia berhempas pulas menuntut ilmu selama tiga tahun pengajian.
Nur Zatil ketika dihubungi tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan terujanya lebih-lebih lagi menceritakan detik-detik manis di saat menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, dengan penerimaan Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hj Hashim ini, ia berjaya membuktikan bahawa bidang pengajian yang diceburi iaitu Bahasa Arab tidaklah sukar seperti yang dikatakan oleh masyarakat.
Malah ia adalah satu perjalanan yang menyeronokkan apatah lagi jurusan yang diambilnya itu lebih mengutamakan kerja-kerja amali berbanding teori.
"Jurusan ini lebih mengutamakan ‘carry marks’ yang memerlukan kami sebagai mahasiswa untuk aktif membuat video atau menemu ramah orang Arab.
"Bagi saya, ia adalah satu pengalaman bermakna dan memberi satu lagi pengalaman baharu dalam menambah baik kemahiran diri sebagai ilmu yang boleh digunakan di alam pekerjaan.
"Dengan ini, jelas membuktikan bidang pengajian ini tidak menumpukan seseorang untuk mahir Bahasa Arab semata-mata tetapi membuka lebih luas bidang pekerjaan lain antaranya pembaca berita Bahasa Arab, pelakon Bahasa Arab atau cef masakan arab,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambah anak keempat dari lima beradik itu lagi, tidak dinafikan mempelajari Bahasa Arab adalah satu kepentingan buat mereka yang beragama Islam memandangkan ia adalah bahasa al-Quran.
Justeru katanya, sebagai seorang Muslim hendaklah menguasai bahasa syurga tersebut yang mana ia juga adalah bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian.
"Sayang kalau kita mahir bahasa lain tetapi tidak Bahasa Arab memandangkan setiap hari kita menggunakan bahasa tersebut.
"Contohnya dalam solat dan ketika memulakan aktiviti harian dengan membaca doa-doa. Dari situ sebenarnya kita sudah boleh sedikit demi ssedikit menguasai Bahasa Arab,” tambahnya lagi.
Dia yang kini bekerja sebagai pembantu penerbit Bahasa Arab, pembaca berita dan wartawan Bahasa Arab TV Al-Hijrah turut berkongsi sedikit tip buat mereka yang berminat untuk menceburi bidang pengajian bahasa tersebut.
Katanya, dalam apa jua bahasa yang diceburi praktis melalui bercakap, menulis, membaca dan mendengar amat penting sebelum menguasai sepenuhnya sesuatu bahasa.
Bagi Bahasa Arab, Nur Zatil memaklumkan, perlu kerap berlatih dan cuba bercakap dalam bahasa itu walaupun salah.
"Jangan malu untuk cuba berkomunikasi dalam Bahasa Arab biarpun salah sebab kalau kita tidak praktis, kita sendiri yang akan lupa.
"Bila berjumpa dengan rakan-rakan cuba berbual dalam bahasa tersebut walaupun ada sesetengah orang yang akan kritik dan abaikan stigma begitu,” tuturnya.
Selain itu, Nur Zatil menambah, kerap membaca al-Quran juga banyak manfaatnya kerana melaluinya penggunaan bahasa seperti tajwid, makhraj huruf dan cara sebutan yang betul dapat dibetulkan.
"Tidak mengapa jika salah, itu adalah proses pembelajaran. Yang penting kita berani untuk mencuba,” ujarnya.