Seramai 124 mahasiswa Sarjana Muda Reka Bentuk Grafik Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Puncak Alam Selangor akan menampilkan hasil karya kreatif mereka kepada industri dan masyarakat pada pameran Reka Bentuk Grafik Kosmik by Bold.
Pameran ini merupakan acara tetap yang berlangsung setiap hujung semester dan merupakan salah satu keperluan akademik yang wajib dipenuhi setiap mahasiswa jurusan tersebut sebagai projek tahun akhir mereka.
Melalui pameran ini juga, mahasiswa-mahasiswa yang terlibat berpeluang menonjolkan bakat dan kreativiti mereka kepada industri bagi peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian kelak.
Menurut penyelia pengkhususan Rekaan Pengiklanan, Nik Atilla Atasha Shamsuddin, pameran Reka Bentuk Grafik Kosmik by Bold dibuat bagi meraikan kreativiti dan usaha kerja mahasiswa yang telah bertungkus-lumus dalam projek tahun akhir.
"Pameran ini adalah bukti usaha keras dan kreativiti mahasiswa Sarjana Muda Reka Bentuk Grafik.
"Ia bukan sahaja mempamerkan pencapaian mereka tetapi juga membantu membina keyakinan diri dalam menonjolkan bakat masing-masing.
"Malah, dengan menjemput pihak profesional industri, kami berhasrat memberi mereka peluang untuk menyaksikan dan menghargai karya seni yang dihasilkan selain sebagai pendedahan serta persediaan mahasiswa untuk menceburi bidang pekerjaan kelak,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini.
Pameran Reka Bentuk Grafik Kosmik by Bold ini adalah untuk meraikan kreativiti dan potensi pereka muda yang masing-masing mempunyai pandangan unik serta pendekatan inovatif untuk melaksanakan perubahan ke arah matlamat mereka.
Perkataan Kosmik itu sendiri membawa maksud alam semesta iaitu kewujudan yang luar biasa, melampaui pemahaman dan sempadan perkara yang boleh kita capai dan temui.
Selain itu, pameran berkenaan juga digerakkan sepenuhnya oleh mahasiswa tahun akhir selain turut dibantu beberapa pensyarah penyelia iaitu Ainun Jariah Yaacob, Farrah Aini Lugiman, Nik Attila Atasha Shamsuddin, Farhanah Sujak, Lili Eliana Mohd Radzuan dan Mohd Faizol Haini.
Dalam pada itu, menurut seorang lagi pensyarah penyelia Rekaan Ilustrasi, Mohd Faizol Haini, pameran terbabit adalah platform yang kondusif bagi menemukan pelbagai pihak untuk bertemu dan berinteraksi.
Ia juga adalah medium kegemaran penggiat industri dalam mencari bakat-bakat baharu sebagai pelapis pada masa akan datang.
"Pameran ini merupakan platform yang kondusif bagi banyak pihak untuk bertemu dan berinteraksi, sama ada pelajar, penggiat industri, akademik, ibu bapa, alumni, masyarakat awam dan banyak lagi.
"Malah pameran ini juga sudah lama menjadi tempat kegemaran dalam kalangan penggiat industri untuk mencari bakat baharu.
"Bukan sedikit mahasiswa yang telah ditawarkan peluang pekerjaan dan juga perniagaan di pameran-pameran yang lepas,” ujarnya.