KPM umum tarikh penting SPMU, mohon calon ulang kaji dan buat latihan sebanyak mungkin

Iklan
Seramai 8,587 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPMU 2023 di 204 pusat peperiksaan seluruh negara. Kredit foto: 123rf

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) tahun 2023 akan dilaksanakan pada 4 hingga 6 September depan melibatkan tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

Menurut kenyataan media KPM pada Isnin, seramai 8,587 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPMU 2023 di 204 pusat peperiksaan seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 1,639 petugas peperiksaan telah dilantik untuk Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu.

"Manakala seramai 1,332 petugas peperiksaan untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu," kata kenyataan tersebut.

Iklan

Sementara itu, KPM turut mengingatkan semua calon peperiksaan SPMU 2023 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan selain arahan perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

"Jadual waktu peperiksaan SPMU 2023 boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan lp.moe.gov.my

Iklan

"Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

"Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian di pautan sppat.moe.gov.my," ujar KPM.

Dalam kenyataan yang sama, KPM turut mengingatkan calon supaya mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPMU 2023.

"KPM mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua calon peperiksaan SPMU tahun ini," jelasnya.