Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang dikatakan akan bermula lebih awal pada 5 Disember depan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini pihaknya belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang mengenai perkara tersebut.
"Kami (kementerian) memang belum keluarkan kenyataan lagi. Tunggu sahaja laporan penuh itu nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini, pada Selasa.
Peperiksaan utama tersebut akan bermula dengan Ujian Amali Sains pada 5 Disember 2023 diikuti Ujian Bertutur pada 8 Januari tahun depan.
Bagi peperiksaan bertulis pula akan berlangsung pada 30 Januari 2024 dengan kertas terakhir pada 7 Mac 2024.
Ini berbeza dengan jadual pelajar SPM 2022 yang bermula pada 30 Januari 2022 sehingga 15 Mac lalu.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyifatkan langkah mengawalkan SPM tersebut merupakan cara untuk mengembalikan jadual persekolahan kembali seperti sediakala.
Perkara itu penting kerana tarikh peperiksaan paling sesuai adalah seperti sebelum pandemik iaitu pada November dan Disember yang merupakan tempoh cuti yang panjang, sekali gus memudahkan KPM menggunakan waktu serta ruang yang ada untuk menjalankan peperiksaan.