Terumbu karang merupakan salah satu aset penting laut yang bertindak sebagai benteng serta perlindungan pantai daripada ombak yang kuat.
Ia juga memainkan peranan penting dalam ekosistem hidupan laut memandangkan kawasan terumbu karang ini dipenuhi dengan sumber makanan yang sedikit sebanyak membantu proses tumbesaran anak-anak ikan.
Namun disebabkan oleh aktiviti-aktiviti pencemaran serta peningkatan suhu permukaan dan pengasidan laut telah mendorong kepada ancaman kemusnahan kawasan terumbu karang.
Untuk itu, sebagai usaha mengekalkan ekosistem dan menjaga kualiti terumbu karang di negara ini, seramai 30 pensyarah dari sembilan universiti tempatan telah bergabung untuk melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dinamakan Wake Up Tioman: Mitigating Climate Change Through Social Innovation di Kampung Tekek, Pulau Tioman pada 20 hingga 22 Julai lalu.
Diterajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), projek itu bertujuan memulihara terumbu karang untuk kelestarian alam sekitar selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti pulau tersebut tentang pemusnahan terumbu karang, perubahan iklim, dan amalan pengurusan sisa makanan yang betul.
Pengarah Projek, Dr. R Kanesaraj Ramasamy dari Universiti Multimedia (MMU) berkata, projek ini membuktikan aktiviti pemuliharaan alam sekitar boleh dijalankan seiring dengan membangunkan masyarakat setempat di pulau itu.
Tambahnya, ia merupakan pendekatan komprehensif untuk pemulihan pulau melalui inovasi sosial.
"Ia bermula dengan penanaman terumbu karang baharu, meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim dalam kalangan murid sekolah diikuti dengan pendidikan masyarakat mengenai pengurusan sisa makanan yang berkesan dan amalan penyelenggaraan pulau.
"Bersama-sama komuniti setempat, inisiatif ini akan memacu pulau itu ke arah masa depan yang mampan dengan ketara dalam menyumbang kepada mengurangkan kesan perubahan iklim,” katanya.
Sementara itu, Wake Up Tioman: Mitigating Climate Change Through Social Innovation telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Kerjasama Industri dan Masyarakat dari Jabatan Pengajian Tinggi KPT Datuk Mohd Sharil Abdullah.
Ia turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Mustaza Mukri serta penaja acara termasuk Yayasan Telekom Malaysia sebagai Penaja Berlian dan Malaysia Rail Link sebagai Penaja Platinum.
30 pensyarah lain yang terlibat dalam projek berkenaan terdiri daripada pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan Universiti Teknikal Melaka (UTeM).
Bukan itu sahaja, projek tersebut turut dijayakan oleh Lembaga Kemajuan Tioman (TDA), Reef Check, Yayasan Universiti Multimedia (YUM) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tekek, Pulau Tioman.