Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni ketika sesi soal jawab di Dewan Negara pada April lalu mendedahkan saringan yang dijalankan pada 2022 terhadap 1.3 juta pelajar sekolah menengah menerusi program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK) mendapati seramai 43,019 pelajar terlibat dengan tabiat merokok.
Dalam tempoh sama, hasil saringan yang dijalankan terhadap 2 juta pelajar sekolah rendah turut mengesan seramai 341 murid terjebak dengan perbuatan itu.
Dengan angka-angka tersebut dapat disimpulkan pelajar hari ini semakin berani dan ia diakui Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan, Md Razif Wan, di mana dalam lingkungan usia remaja, keinginan mencuba sesuatu yang baharu adalah tinggi.
Tambah beliau, semua pihak seharusnya memandang serius dengan masalah rokok yang semakin berleluasa dalam kalangan pelajar sekolah di mana ibu bapa, pihak sekolah dan juga masyarakat setempat haruslah bersama-sama bersatu berganding bahu mengatasi permasalahan ini.
"Sebenarnya AADK sebuah agensi yang tidak terlibat dengan rokok kerana lebih menumpukan kepada penyalahgunaan bahan dan dadah.
"Rokok diletakkan di bawah bahagian Pendidikan Kementerian Kesihatan, bagaimanapun AADK berperanan membantu mencegah kerana bermula dengan merokok akhirnya akan menyebabkan mereka beralih kepada bahan dan juga dadah.
"Jadi AADK akan membantu para pelajar mengikut peringkat masing-masing dan ia bermula dari sekolah kerana generasi ini akan menjadi pemimpin satu hari nanti,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Langkah penyelesaian
Mengulas lanjut mengenai permasalahan tersebut, Md Razif menjelaskan, dalam menangani masalah perokok bawah umur ini beberapa program perlu dilaksanakan dari pelbagai peringkat dan sudut.
Sehubungan itu, pelbagai program telah dirangka dalam usaha memberi pencegahan awal agar para pelajar tidak terlibat dengan bahan terlarang.
"Apabila kita membicarakan mengenai pendidikan bahan terlarang ini, ia terlalu luas dan bukan satu medium sahaja yang kita gunakan.
"Selalunya kita ada silibus khusus yang telah dirangka khas untuk para pelajar mengikut tahap dan umur masing-masing seperti murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan juga mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT).
"Silibus ini akan berkisar dengan tingkah laku dan juga persekitaran mengikut maklumat terkini dan semasa,” tuturnya.
Untuk itu, Md Razif menasihati para pelajar jangan mencuba sekiranya tahu ia akan memudaratkan diri kelak.
Kepada guru-guru pula, beliau menitipkan pesanan agar kenali para pelajar dan untuk ibu bapa jadilah orang tua yang bertanggungjawab.
"Paling penting ialah ibu bapa kerana mereka menjadi model kepada anak-anak. Sekiranya persekitaran rumah mesra dan ibu bapa bebas rokok, mereka (anak-anak) juga tidak cenderung untuk merokok.
"Kesimpulannya didikan di rumah itu penting untuk anak-anak ini membuat pilihan,” katanya.
Yang pasti, tanggungjawab membanteras masalah rokok dalam kalangan pelajar bukanlah terletak pada bahu guru kaunseling atau mana-mana agensi semata-mata kerana ia adalah keprihatinan semua pihak dalam usaha melahirkan generasi yang berkualiti.
INFO
Program anjuran AADK bersama pelajar
1) PINTAR 2.0
Program berbentuk sesi interaktif dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bersama murid Tahap Dua (Tahun Empat, Lima dan Enam)
2) TOT Penggerak Shields (Sayangi Hidup Elak Dadah Selamanya)
Kumpulan sasaran adalah pendidik, kakitangan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan lain-lain individu pendidikan. Sesi program berbentuk ceramah dan LDK
3) Kem Shields
Program dilaksanakan berbentuk kem dalam tempoh dua hari satu malam dan dipenuhi sesi interaktif dan LDK.
4) Tomorows Leaders
Berbentuk sesi interaktif, LDK dan soal jawab dengan menyasarkan mahasiswa awam dan swasta, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta pendidik.
5) Seminar Great Teacher Organization (GTO)Program berbentuk sesi interaktif dan LDK menyasarkan guru disiplin, guru bimbingan dan kaunseling, guru pendidikan pencegahan dadah sekolah, pegawai pendidikan pencegahan dadah daerah dan JPN.
Fakta membimbangkan akibat merokok
- 50 peratus golongan lelaki di Malaysia adalah perokok.
- Di Kuala Lumpur, nisbah perokok lelaki dan wanita di bawah umur 30 tahun adalah 5:1 dengan 25 peratus pelajar berumur 15 tahun ke atas pernah mencuba merokok dan 70 peratus daripada kumpulan ini akan menjadi perokok apabila meninggalkan bangku sekolah.
- 60 hingga 75 peratus asap rokok disedut oleh orang yang tidak merokok.
- Hanya 50 peratus perokok dapat menjangkau umur 70 tahun.
SUMBER: infosihat.gov.my/isu-semasa/43-bahaya-merokok.html