Kitar semula adalah salah satu cara terbaik bagi mengurangkan pencemaran yang berlaku di negara ini.
Sebagai usaha untuk mengetengahkan kitar semula ini, Projek Smart Recycle Bin telah diperkenalkan sebagai sistem pengumpulan bahan tersebut yang menempatkan sebuah tong pintar dan mampu menyukat serta mengenalpasti bahan kitar semula yang dimasukkan ke dalam tong.
Projek ini merupakan hasil kolaborasi strategik SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Pejabat Kampus Lestari UTHM.
Menurut Ketua Projeknya, Profesor Ts Dr Aeslina Abdul Kadir, jalinan kerjasama dengan SWM Environment ini adalah kerana syarikat konsesi pembersihan tersebut giat memperkenalkan insentif berganjaran KITARecycle.
"Dengan hanya mengumpul barangan kitar semula melalui KITARecycle, mereka berpeluang memperolehi mata ganjaran dan boleh ditebus dengan wang tunai.
"Malah dengan adanya Smart Recycle Bin ini bukan sahaja mampu menarik minat orang ramai melakukan kitar semula tetapi memudahkan mereka melakukan pengasingan sisa di samping melihat kekerapan aktiviti kitar semula dilaksanakan serta menyokong sasaran negara untuk mewujudkan bandar rendah karbon,” ujarnya.
Tidak hanya menyukat dan mengenalpasti bahan kitar semula, Smart Recycle Bin juga mampu mengenali pemilik bahan berkenaan melalui kad keahlian KITARecycle dan menyimpan rekod mata ganjaran terkumpul terus ke akaun KITARecycle pengguna.
Sebagai permulaan, projek ini hanya menerima jenis barangan kitar semula seperti botol plastik dan tin aluminium.
Bukan itu sahaja, Smart Recycle Bin ini juga akan ditempatkan di beberapa lokasi terpilih seperti pasaraya dan pusat komuniti sekitar daerah Batu Pahat dan Muar, Johor.
Selain itu, projek berkenaan turut memilih beberapa buah sekolah untuk dijadikan sebagai proses pendidikan amalan kelestarian yang secara tidak langsung dapat mempromosi penggunaan KITARecycle.