CrossBridge 2026: UiTM & TDTU Vietnam kukuhkan diplomasi muda ASEAN

Iklan
Sebahagian peserta yang menyertai CrossBridge 2026: Connecting Young Diplomats of ASEAN baru-baru ini.

Seramai 15 pelajar dan tiga pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban telah menyertai program antarabangsa CrossBridge 2026: Connecting Young Diplomats of ASEAN di Ho Chi Minh City baru-baru ini.

Pemergian mereka ke sana diketuai Dr Muhammad Aiman Awalluddin dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) selaku Penasihat Kelab International Voluntary and Diplomatic Association (DIPLOMAT); bersama pensyarah pengiring, Dr Mohd Ramlan Mohd Arshad (FSPPP) dan Dr Raja Mayang Delima Mohd Beta (Fakulti Pengurusan dan Perniagaan).

Iklan
Iklan

Turut serta dalam CrossBridge 2026: Connecting Young Diplomats of ASEAN adalah 30 pelajar dan lima staf akademik Ton Duc Thang University (TDTU), sebuah universiti awam terkemuka di Vietnam.

Sepanjang tempoh program, para peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti berimpak tinggi, antaranya syarahan perbandingan mengenai sistem pentadbiran dan kerja sosial di Malaysia dan Vietnam; kelas seni kaligrafi Vietnam; aktiviti kesukarelawanan bersama komuniti setempat; lawatan akademik; sesi pertukaran budaya dan dialog dua hala.

Iklan

Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja memupuk perkongsian ilmu dan pengalaman, malah turut membina jambatan toleransi, empati serta pemahaman lintas budaya dalam kalangan generasi muda ASEAN.

Menurut Pengarah Program Pelajar, Emir Luqman Muhammad Sharil, CrossBridge 2026 membuktikan keupayaan pelajar UiTM melaksanakan program berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.

Iklan

"Ia merupakan langkah strategik universiti dalam memperkasakan pelajar dengan perspektif global serta membina jaringan antarabangsa yang kukuh," katanya yang juga pelajar FSPPP, UiTM Cawangan Seremban.

Penasihat Kelab DIPLOMAT, Dr Muhammad Aiman turut berkata, CrossBridge 2026 melangkaui sekadar mobiliti pelajar dan staf akademik.

"Ia menjadi wadah strategik bagi membentuk pemimpin masa depan yang berfikiran global, beridentiti ASEAN serta membantu pensyarah mengukuhkan rangkaian akademik serantau melalui syarahan lintas budaya," katanya.

Sokongan padu daripada pihak TDTU telah memastikan kelancaran pelaksanaan program ini, sekali gus mengukuhkan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua institusi pengajian tinggi.

Kerjasama tersebut dijangka melahirkan lebih banyak inisiatif mobiliti pelajar, kolaborasi penyelidikan serta pertukaran akademik pada masa hadapan.

Sementara itu, CrossBridge 2026: Connecting Young Diplomats of ASEAN mencatat sejarah dengan kehadiran istimewa Naib Konsul (Pendidikan), Konsulat Jeneral Malaysia, Koh Bee Ching. 

Kedatangan beliau telah menambah dimensi diplomatik yang signifikan kepada program dua hala tersebut, selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia dalam memajukan pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta memperkukuh hubungan bilateral dan serantau dengan negara-negara jiran di ASEAN.

Secara keseluruhannya, CrossBridge 2026 selaras dengan agenda nasional pengantarabangsaan institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia.

Program turut menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk berani melangkah merentas sempadan, menghargai kepelbagaian serta menyumbang secara aktif kepada pembangunan ASEAN yang lebih kukuh, harmoni dan berdaya saing.

Untuk info, CrossBridge 2026: Connecting Young Diplomats of ASEAN dianjurkan UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban melalui Kelab DIPLOMAT.

Program turut mendapat kerjasama strategik dari TDTU, yang diketuai Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Dr Pham Thi Ha Thuong.