UiTM perkukuh hubungan dengan universiti di Bosnia

Iklan


Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkukuh hubungan antarabangsa bersama universiti dari Bosnia dan Herzegovina menerusi penganjuran International Conference on Public Policy and Social Sciences (ICoPS) 2023 pada 13 hingga 15 September baru-baru ini.

Persidangan yang melibatkan kolaborasi antara Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) kampus itu dengan Universiti Antarabangsa Sarajevo (IUS) dari republik tersebut bertemakan ‘Contemporary Public Administration & Governance’ yang bertujuan menyediakan platform bagi para penyelidik dan sarjana di seluruh dunia untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka dalam pelbagai bidang.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu dimulakan dengan tiga siri ‘Master Class’ yang disertai 150 peserta dari dalam dan luar negara pada 13 September secara maya, menampilkan pakar akademik yang berkongsi ilmu tentang penyelidikan kualitatif, kuantitatif serta penulisan manuskrip untuk penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi.

Seterusnya, sesi pembentangan sebanyak 70 kertas penyelidikan diadakan secara maya menerusi aplikasi Webex dan fizikal di IUS pada 14 September 2023.

Pada hari yang sama, Majlis Perasmian ICoPS 2023 diadakan di IUS dan ditayangkan secara langsung melalui Youtube rasmi IUS dan Facebook rasmi FSPPP.

Dalam majlis tersebut, ucapan aluan telah disampaikan oleh Rektor IUS, Profesor Dr Ahmet Yildirim sementara Duta Besar Malaysia ke Bosnia berkesempatan memberi ucaptama bertajuk ‘Malaysia Madani: The Impetus for Transformation.’

Manakala untuk sesi ucaptama kedua pula, Dekan Fakulti Pentadbiran Ekonomi dan Sains Sosial, IUS telah menyampaikan ucaptama yang bertajuk ‘The Prospects for Female Leadership and Public Policy-Making.’

Majlis juga diserikan dengan ucapan tetamu istimewa iaitu Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor sekali gus merasmikan Persidangan ICoPS 2023.

Pada 15 September 2023 pula, Majlis Pelancaran Buku bertajuk"A Multidi.mensional Study on Malaysia-Bosnia and Herzegovina”, telah diadakan di Universiti Sarajevo (UNSA).

Majlis dihadiri Rektor UNSA, Profesor Dr Rifat Škrijelj bersama delegasi UiTM yang diketuai Roziah bersama dekan dan warga FSPPP kampus itu.

Roziah menyatakan, penerbitan buku tersebut oleh UiTM Press adalah satu manifestasi kerjasama, pengantarabangsaan dan perkongsian dua negara dari dua benua berbeza yang jelas menjadi simbol muhibah antara kedua-dua negara dan universiti.

Pada sebelah malamnya pula, pihak Kedutaan Malaysia di Sarajevo telah mengadakan Networking Dinner bersama delegasi dari UiTM.

Roziah telah menyempurnakan sesi penyerahan dua buah memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara UiTM dengan IUS dan UiTM bersama Sarajevo School of Science and Technology (SSST) dalam satu majlis yang berlangsung dengan lancar.